fb fb fb fb fb

Sarawak cadang gugurkan terminologi 'negeri' dalam DUN Sarawak

Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg mempengerusikan Mesyuarat Pra Persidangan DUN Sarawak ke-19  di Ibu Pejabat Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) hari ini/Foto UKAS

KUCHING, 4 Mei - Perkataan ‘negeri’ boleh digugurkan dalam terminologi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak selaras dengan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), kata Speaker DUN Sarawak Tan Sri Datuk Amar Mohd Asfia Awang Nassar.

Datuk Amar berkata, beliau akan mengemukakan cadangan itu kepada cabang eksekutif kerajaan Sarawak sama ada perkataan itu digugurkan atau dikekalkan.

“Selaras dengan MA63, Sarawak merupakan sebuah wilayah dan bukannya satu daripada 13 buah negeri dalam Malaysia.

“Memandangkan kita adalah 'wilayah' dan bukannya 'negeri', ia hanya logik apabila perkataan ‘negeri’ digugurkan.

"Terdapat keperluan untuk menukar nama tersebut berikutan DUN Sarawak tertua di Malaysia yang ditubuhkan sejak 1867 di Bintulu dan
dikenali sebagai Majlis Umum Sarawak (Sarawak General Council).

"Manakala pada 1903, Majlis Umum Sarawak dinamakan pula sebagai Majlis Negeri Sarawak namun kemudian ditukar kepada Dewan Undangan Negeri Sarawak pada 1976.

"DUN Sarawak juga yang terbesar dengan mempunyai 82 ahli berbanding dengan ahli wakil rakyat lain di Malaysia dan juga meluluskan belanjawan terbesar iaitu RM11 bilion (Bajet 2024)," katanya kepada media selepas Mesyuarat Pra-Persidangan DUN Sarawak di Ibu Pejabat Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), di sini, hari ini.

Dalam pada itu katanya, tiga bekas ADUN dari Parti Sarawak Bersatu (PSB) akan berpindah ke blok kerajaan dalam persidangan DUN Sarawak yang bermula Isnin ini selepas PSB dibubarkan.

Ia melibatkan Datuk Seri Wong Soon Koh (Bawang Assan), Baru Bian (Ba'kelalan) dan Dr Johnicol Rayong Ngipa (Engkelili) menyertai komponen Gabungan Parti Sarawak (GPS) iaitu Parti Demokratik Progresif (PDP)

Ini sekali gus menyaksikan pembangkang hanya mempunyai dua wakil di DUN Sarawak manakala seorang lagi wakil Bebas.

GRACE AISYAH KEDAYAN