HULU SELANGOR, 4 Mei - Siasatan membabitkan insiden pesawat ringan jenis CESNA 172 yang terhempas di Besout 2 , Perak pagi tadi sedang dilakukan oleh Biro Penyiasatan Kemalangan Udara (BSKU)
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata sebarang penambahbaikan Prosedur Penerbangan akan diteliti selepas siasatan selesai.
"BSKU ataupun 'Air Accident Investigation Bureau telah pun digerakkan. Mereka telah pergi ke tempat kejadian untuk mendapatkan bukti dan terus membuka kertas siasatan.
"Jadi setiap kali ada insiden seperti ini, memang laporan ataupun siasatan terperinci akan diadakan. Jadi, SOP memang ketat dan apa-apa kelemahan akan dilihat dari masa ke semasa.
"Jadi setiap kali ada laporan, ada siasatan, akan lihat apa yang perlu kita perbaiki Jadi memang akan ada laporan terperinci daripada pihak Biro Siasatan Kemalangan Udara", katanya yang ditemui media pada Majlis Jamuan Hari Raya Aidilfitri SMH Rail di sini.
Dalam kejadian tersebut, sebuah pesawat ringan CESSNA 172 Skyhawk dengan pendaftaran 9M-ADA berlepas dari Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah (LTSAS) bagi latihan penerbangan sebelum dilaporkan terhempas dekat Felda Gunung Besout 2, ketika dalam berpatah balik ke Ipoh.
Insiden berkenaan mengakibatkan dua mangsa iaitu Kapten Shahrul Imran 30-an merupakan jurulatih penerbangan; mengalami patah paha kiri.
Manakala seorang lagi mangsa, Le Ho Jia 20-an (pelatih) cedera di bahagian muka.
Kedua-dua mangsa dibawa ke Hospital Slim River untuk tindakan lanjut.