fb fb fb fb fb

Anwar Ibrahim sertai taklimat Mesyuarat Khas Pembangunan Negeri Kedah

Foto BERNAMA

ALOR SETAR, 4 Mei- Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mengadakan lawatan sehari ke Kedah, turut mendengar taklimat pada Mesyuarat Khas Pembangunan negeri Kedah yang diadakan di Wisma Darulaman, Alor Setar, petang tadi.

Taklimat secara tertutup itu selesai dalam tempoh sejam.

Mesyuarat turut dihadiri Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhamad Sanusi Md Nor, Menteri Dalam Negeri KDN merangkap Pengerusi Tindakan Pembangunan negeri Kedah, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dan Ketua Setiausaha Negara KSN, Tan Sri Mohd Zuki Ali.

Sementara itu, Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhamad Sanusi berkata taklimat berjalan dengan lancar dan terdapat permohonan yang diluluskan segera dan ada permohonan yang perlu diperincikan.

"Kita ucap terima kasih kepada YAB Perdana Menteri yang turun ke negeri-negeri dan hari ini agak harmoni. Kita terus sampaikan hasrat kita, kepada Persekutuan dan respon yang baik daripada Perdana Menteri. Yang mana boleh lulus, terus dia beri kelulusan," kata Sanusi kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Sambutan Aidilfitri Madani 2024 Peringkat negeri Kedah di Tasik Darulaman, Jitra, malam ini.

Terdapat sekurang-kurangnya lapan permohonan yang dimohon kerajaan negeri melibatkan projek pembangunan di negeri itu.

Antaranya, pengekalan sawah padi sebagai Jelapang Padi dan pembangunan infrasruktur di kampung-kampung tersusun di negeri tersebut.

Selain itu, memohon penyelesaian isu penempatan di Bukit Malut, Langkawi.
 

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM