PADANG TERAP, 7 September - Pemberian Sumbangan Asas Rahmah (SARA) sebanyak RM100 secara sekali beri (one-off) bukanlah penyelesaian tunggal untuk menangani isu kos sara hidup rakyat, namun ia tetap memberi makna besar khususnya kepada golongan rentan di desa dan pedalaman.
Timbalan Dekan Ghazali Shafie Graduate School of Government, Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof. Madya Dr. Kamarul Azman Khamis berkata, bantuan itu mampu meringankan beban rakyat biarpun nilainya kecil.
“Walaupun tidak banyak, tetapi ia cukup bermakna untuk membeli keperluan asas harian. Khususnya bagi masyarakat pedalaman, imbuhan sebegini amat dihargai,” katanya.
Jelasnya, pemberian SARA bukan sahaja memberi manfaat kepada penerima, malah turut membantu peruncit di kawasan pedalaman.
“Peruncit juga mendapat manfaat apabila pengguna berbelanja. Kerajaan sedar betapa peritnya hidup di pedalaman, maka inisiatif sebegini memang perlu dilaksanakan,” tambah beliau.
Beliau ditemui RTM di Kampung Tanjung, Pedu, Padang Terap.
Timbalan Dekan Ghazali Shafie Graduate School of Government, Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof. Madya Dr. Kamarul Azman Khamis
Sementara itu, bagi peruncit dan penduduk setempat, pemberian SARA disifatkan tepat pada masanya.
Seorang peruncit, Pat Tha Ma Thawin, berkata pemberian itu meningkatkan jualan terutamanya pada awal bulan.
“Awal bulan memang ramai pelanggan. Biasanya orang tua habiskan RM100 sekali gus, orang dewasa pula beli sikit-sikit. Sistem agak sesak dua hari pertama saja, lepas tu dah kembali pulih. Terima kasih kepada Perdana Menteri,” katanya.
Peruncit, Pat Tha Ma Thawin
Penduduk Kampung Tanjung Luar, Mohd Yusri Hashim pula menzahirkan harapan agar bantuan ini diteruskan dan ditambah baik.
“Ramai orang kampung rasa SARA dapat meringankan beban. Saya harap bantuan sebegini boleh diteruskan dan ditambah baik untuk keselesaan penduduk,” ujarnya.
Penduduk Kampung Tanjung Luar, Mohd Yusri Hashim
Semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika merasmikan Majlis Penutup Program Madani Rakyat di Kompleks Sukan Majlis Daerah Baling menegaskan, pemberian SARA bukanlah penyelesaian tunggal, sebaliknya salah satu langkah kerajaan membantu rakyat berdepan tekanan kos sara hidup.
Bantuan yang mula disalurkan sejak 31 Ogos lalu merupakan tambahan kepada program MySARA dan Sumbangan Tunai Rahmah (STR) sedia ada.