fb fb fb fb fb

Kerajaan tetapkan enam bulan sedia draf undang-undang antibuli

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi hadir pada Program Motivasi Desa@KEMAS KKDW Dan Program Bakti MADANI@KPT di Masjid Tuminah Hamidi. / Foto BERNAMA

BAGAN DATUK, 7 September – Kerajaan memberi tempoh enam bulan kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said, untuk menyiapkan draf Rang Undang-undang (RUU) Tribunal Antibuli yang lebih menyeluruh.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, menegaskan RUU itu penting bagi menangani kes buli yang berlaku bukan sahaja di sekolah, malah di universiti dan pasukan beruniform.

Beliau berkata, budaya buli dan 'ragging' yang sering dianggap tradisi terutama dalam kalangan pelajar baharu tidak boleh lagi diterima.

“Saya mengharapkan semua pemegang taruh, terutama Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) dan pentadbiran universiti, memberikan input. Begitu juga peguam untuk menyumbang saranan. Kita tidak boleh bertoleransi langsung dengan buli atau ragging, apa pun namanya,” katanya selepas melancarkan Program Motivasi Desa (MODE) dan Program Perumahan Rakyat Sejahtera (PPRS) di Masjid Tuminah Hamidi, Bagan Datuk.

Bagi mendapatkan pandangan menyeluruh, Datuk Seri Azalina turut diarahkan mengadakan siri libat urus di seluruh negara bermula minggu ini.

Menurut Datuk Seri Ahmad Zahid, cadangan undang-undang tersebut juga akan meneliti penubuhan sebuah tribunal khas bagi memastikan isu buli dapat ditangani secara berkesan tanpa menjejaskan nama baik institusi.

Terdahulu, Program MODE 2025 dilaksanakan secara serentak di 14 negeri dengan penyertaan lebih 2,000 pelajar sekolah menengah dan mahasiswa dari seluruh negara.

SITI NUR DIATIE BINTI ZAIDI