fb fb fb fb fb

SARA diperluas kepada 5.4 juta penerima, bermula 1 April ini

Foto BERNAMA

PUTRAJAYA, 26 Mac- Sumbangan Asas Rahmah (SARA) akan diperluas kepada 5.4 juta penerima bermula 1 April 2025, peningkatan hampir lapan kali ganda berbanding 700,000 penerima sedia ada.

Menurut Kementerian Kewangan, bantuan itu akan dikreditkan secara bulanan ke MyKad penerima di seluruh negara, termasuk Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan.

"Penerima yang layak akan menerima bantuan SARA sehingga RM2,100 secara keseluruhan pada tahun 2025, berbanding RM1,200 pada tahun 2024 iaitu peningkatan 75 peratus daripada tahun lepas.

"Peluasan tersebut merupakan sebahagian daripada peningkatan peruntukan program Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan SARA kepada RM13 bilion pada tahun 2025, jumlah tertinggi dalam sejarah penyaluran bantuan tunai Kerajaan kepada rakyat," menurut kenyataan tersebut.

Menurut kementerian berkenaan, 5.4 juta penerima itu terdiri daripada 700,000 penerima SARA sedia ada di dalam rekod eKasih yang telah menerima SARA sejak Januari 2025.

"Mulai 1 April 2025, mereka akan menerima bantuan tambahan SARA sebanyak RM50 sebulan untuk golongan warga emas tiada pasangan, dan RM100 sebulan untuk isi rumah.

"4.7 juta penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR) sedia ada yang tidak berada di dalam rekod eKasih.

"Mulai 1 April 2025, mereka akan menerima bantuan baharu SARA sebanyak RM50 sebulan untuk golongan warga emas tiada pasangan, dan RM100 sebulan untuk isi rumah," menurut kenyataan itu.

Menerusi kenyataan sama, Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata SARA merupakan pendekatan bantuan secara bersasar, di mana sebahagian pertambahan hasil negara serta penjimatan daripada perbelanjaan subsidi diagihkan semula bagi membantu mereka yang benar-benar memerlukan.

"Penyaluran SARA melalui MyKad juga bersasar kerana kaedah tersebut memastikan golongan sasar menerima manfaatnya dalam bentuk barangan asas,” kata Anwar.

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM