fb fb fb fb fb

SARA catat jualan RM102.5 juta, kerajaan pantau kenaikan harga

Foto arkib

KUALA LUMPUR, 7 September- Lapan hari selepas pemberian Penghargaan Sumbangan Asas Rahmah (SARA), jumlah jualan direkodkan mencecah RM102.5 juta melibatkan 1.7 juta penerima setakat 9.30 malam.

Kementerian Kewangan dalam kenyataan memaklumkan, kadar transaksi berjaya kekal stabil pada 99.9 peratus selama dua hari berturut-turut hasil penambahbaikan dan peluasan kapasiti sistem pada minggu pertama.

Kerajaan MADANI turut mengambil maklum aduan segelintir peniaga yang didakwa menaikkan harga susulan pelaksanaan SARA.

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, siasatan boleh dijalankan bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 dan kerajaan tidak akan berkompromi terhadap pihak yang cuba menjejaskan manfaat rakyat.

“Kerajaan akan menyiasat aduan berhubung kenaikan harga barang.

Pada masa sama, kami menghargai inisiatif pasar raya dan kedai runcit yang menawarkan harga istimewa kepada penerima manfaat,” katanya.

Orang ramai digesa membuat aduan rasmi kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) melalui portal e-Aduan di https://eaduan.kpdn.gov.my/, WhatsApp 019-848 8000 atau talian bebas tol 1-800-886-800.

Sejak pemberian SARA mulai 31 Ogos lalu, lebih 11.8 juta rakyat telah membeli barangan keperluan asas dengan jumlah perbelanjaan mencecah RM745.7 juta di seluruh negara.

FARIS IZZAT SHAHARUDIN