PUTRAJAYA, 8 September – Fenomena gerhana bulan penuh berjaya menarik kehadiran lebih 100 pengunjung di Masjid Putra, Putrajaya, malam tadi.
Timbalan Mufti Wilayah Persekutuan, Sahibus Samahah Jamali Mohd Adnan berkata gerhana mula dikesan pada pukul 11.28 malam sebelum mencapai puncaknya sekitar 2.11 pagi dengan bulan kelihatan kemerahan, dan berakhir sepenuhnya pada 4.55 pagi.
Timbalan Mufti Wilayah Persekutuan, Sahibus Samahah Jamali Mohd Adnan
“Program seumpama ini turut diadakan di hampir seluruh negeri dengan kerjasama Jabatan Mufti Negeri dan Jabatan Ukur serta Pemetaan Negeri. Alhamdulillah, walaupun berlangsung lewat malam hingga awal pagi, sambutan masyarakat tetap menggalakkan,” katanya.
Selain aktiviti cerapan, jemaah turut menunaikan Solat Sunat Khusuf pada pukul 2.30 pagi, diikuti khutbah khas.
Fenomena itu bukan sahaja memberi peluang masyarakat menyaksikan keindahan ciptaan Ilahi, malah meningkatkan kefahaman mengenai ilmu falak.
Program tersebut dianjurkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dengan kerjasama Masjid Putra, Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan, Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia serta Persatuan Jurufalak Syarie, bermula dari pukul 9 malam hingga 6 pagi.