KOTA SAMARAHAN, 17 September– Operasi mencari dan menyelamat (SAR) seorang lelaki yang dikhuatiri dibaham buaya di Sungai Lubok Punggor ditangguhkan pukul 5 petang tadi dan akan disambung semula esok.
Menurut Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Samarahan dan Simunjan memulakan pencarian pukul 8.10 pagi dengan kekuatan lima anggota.
Pencarian menggunakan kaedah pencarian di permukaan meliputi kawasan sepanjang dua kilometer dari lokasi kejadian.
Wakil Khas Premier Sarawak di Gedong, Datuk Sri Mohd Naroden Majais, turut meninjau gerakan SAR dan menerima taklimat mengenai perkembangan operasi.
Beliay turut menyampaikan sumbangan makanan kepada penduduk kampung dan pasukan penyelamat.
Operasi hari ini membabitkan lebih 30 anggota termasuk Polis Diraja Malaysia, Angkatan Pertahanan Awam, Jabatan Hidupan Liar Sarawak serta penduduk kampung.
Mangsa, Ahmad Alzadkhri Sudin, 32, dilaporkan hilang Isnin lalu ketika menjala udang bersama ahli keluarga sebelum dipercayai disambar buaya sekitar pukul 4 petang.