fb fb fb fb fb

SAR kakitangan Sabah Electricity dihanyut arus, disambung esok

Foto Facebook KENINGAUfm

KENINGAU, 17 September – Operasi Mencari dan Menyelamat (SAR) hari kedua bagi mengesan seorang kakitangan Sabah Electricity Sdn. Bhd. (SESB) yang dikhuatiri lemas selepas dihanyutkan arus deras di sebuah jambatan semalam, ditangguhkan pada pukul 5 petang tadi dan akan bersambung semula esok.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Keningau, Mohd Nidzam Sainkui berkata, operasi pencarian setakat ini meliputi kawasan lebih 40 kilometer dari lokasi mangsa dilaporkan hilang.

Selain pasukan bomba, operasi SAR turut melibatkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Pertahanan Awam (APM).

Dalam kejadian semalam, mangsa dikenali sebagai Masdi Rasmin, berusia 30-an, bersama dua rakan sedang melakukan kerja di sebuah pencawang berhampiran sebelum cuba melintas jambatan simen yang dilanda banjir.

Bagaimanapun, Masdi terlepas pautan pada tali pengikat dan dihanyutkan arus deras, manakala dua rakannya sempat menyelamatkan diri.

SITI NUR DIATIE BINTI ZAIDI