TANJONG MALIM, 17 September- Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) memberi jaminan kebajikan pelajar baharu sentiasa terpelihara menerusi inisiatif turun padang.
Sebanyak 22 pegawai universiti digerakkan ke seluruh negara bagi mengenal pasti pelajar yang bakal mendaftar pada 27 September ini, khususnya daripada keluarga kurang berkemampuan.
Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof. Dr. Norkhalid Salimin berkata, usaha ini melibatkan 10 Timbalan Dekan, enam pegawai Bahagian Hal Ehwal Pelajar (BHEP) dan enam pegawai Pejabat Wakaf, Zakat, Endowmen dan Sedekah (WEZAS).
“Inisiatif bermula 12 hingga 21 September ini membolehkan pegawai turun padang, menilai keadaan sebenar pelajar dan menyalurkan bantuan tepat kepada mereka yang memerlukan.
Kami mahu mereka memulakan pengajian dengan baik dan penuh keyakinan,” katanya menerusi kenyataan.
Beliau menambah, langkah itu bukan sahaja meringankan beban kewangan keluarga, malah menjadi suntikan semangat kepada pelajar baharu.
“Kami mahu mereka tahu bahawa UPSI sentiasa bersama sejak awal perjalanan mereka sebagai mahasiswa.
Keluarga juga menyatakan, kehadiran pegawai UPSI ke rumah pelajar memberi keyakinan bahawa kebajikan anak mereka terjamin," ujar beliau.
Menurut Prof. Norkhalid, langkah berkenaan memperlihatkan komitmen universiti bukan sekadar menyediakan pendidikan, malah membina jaringan keprihatinan dengan masyarakat.
Malah, pendekatan mesra rakyat ini diyakini mampu melahirkan pelajar yang berdaya saing, berdisiplin dan bersemangat menuntut ilmu.