fb fb fb fb fb

SAR insiden tanah runtuh Taman Bukit Permai 2 ditamatkan pagi tadi

AMPANG, 11 Mac- Operasi mencari dan menyelamat (SAR) insiden tanah runtuh di Taman Bukit Permai 2, ditamatkan pukul 3.00 pagi tadi.

Ia susulan penemuan mangsa terakhir yang juga penghuni rumah teres dua tingkat di situ pada pukul 1.55 minit pagi.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak memaklumkan pihaknya telah melakukan pemeriksaan terakhir menggunakan bantuan Unit Anjing Pengesan (K9) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia JPBM Selangor bagi memastikan tiada mangsa yang masih tertimbus.

Kesemua mangsa yang maut telah dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Ampang untuk tindakan lanjut.

Untuk rekod, insiden malang itu menyebabkan kerosakan 15 unit rumah teres dua tingkat dan 10 kenderaan dengan 4 korban dan 1 cedera.

Operasi SAR yang bermula semalam terdiri pegawai dan anggota JBPM Selangor, selain Polis, anggota Rela, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ).


(Operasi SAR oleh JBPM Selangor melibatkan unit STORM dan anjing pengesan K9/Gambar Fail)

Sementara itu, seramai 127 anggota digerakkan sepanjang kerja menyelamat dan memantau di sekitar kawasan tanah runtuh itu.

Menurut Pengarah Bomba dan Penyelamat Selangor, Norazam Khamis antara unit yang terlibat seperti Unit Storm dan Unit anjing pengesan K9.

"Kita beroperasi dengan seramai 127 anggota bomba,dimana pelbagai kemahiran pasukan STORM seramai 80 orang, unit K9 bersama 15 orang dan 3 ekor anjing pengesan dan mangsa ketiga, keempat dan kelima, kita jumpa melalui pengesanan anjing. Ketiga-tiga mangsa tertimbus kira-kira 4-5 kaki,"kata beliau ketika ditemui media di lokasi kejadian tanah runtuh, di sini.

Antara balai yang terlibat antaranya Balai Bomba Pandan dan Balai Cheras.

Tambah beliau lagi ketika ini pihak bomba masih melakukan kerja pemantauan sehingga keadaan dipastikan selamat.

Media Baharu