IPOH, 26 MeiĀ -Wartawan RTM Perak, Muhammad Fahmi Mohd Nor mengakui terharu dan bangga menerima tanggungjawab mewakili pengamal media, khususnya rakan wartawan, bagi membaca khutbah Jumaat hari ini di Masjid Masjid Muhibbuddin Shah sempena Hari Wartawan Nasional (Hawana) 2023.
Muhammad Fahmi merupakan antara tiga pengamal media yang diberi penghormatan menyampaikan khutbah di beberapa masjid di negeri itu hari ini.
Menurut Fahmi lagi, peluang tersebut yang datang sekali seumur hidup itu perlu dilakukan dengan penuh tanggungjawab.
"Ini adalah satu penghormatan kepada pengamal media sempena HAWANA 2023.
"Bagi saya ini adalah satu pengalaman paling berharga. Alhamdulilah saya berjaya selesaikan", katanya ditemui selepas membaca khutbah jumaat di Masjid Muhibbuddin Shah Ipoh yang dihadiri kira-kira 1,000 jemaah.
Bertemakan "Kewartawanan: Menyempurnakan Tugas Berlandaskan Nilai-Nilai Islam", khutbah tersebut mengingatkan para wartawan agar sentiasa bersifat benar dan jujur dalam menyampaikan maklumat.
Peranan itu merupakan satu hak dan kebebasan bersuara yang tidak seharusnya dipersendakan atau dipermainkan oleh mana-mana pihak.
Sementara itu, Pengarah Jabatan Agama Islam Negeri Perak (JAIPK), Harith Fadzilah Abdul Halim berharap usaha sebegini dapat diteruskan pada masa akan datang.
"Kita sangat berterima kasih kepada Duli Yang Maha Mulia Sultan Perak kerana memberi ruang kepada rakyat memainkan peranan.
"Semua lapisan boleh memainkan peranan bukan hanya imam tetapi keseluruhan masyarakat", katanya yang ditemui di sini.
(Wartawan RTM Perak, Muhammad Fahmi Mohd Nor)