(Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah)
KUALA LUMPUR, 26 Mei- Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan berangkat ke Monaco dan Jordan untuk lawatan khas di kedua-dua negara itu.
Menurut kenyataan oleh Datuk Pengelola Bijaya Diraja, Mejar Jeneral Datuk Zahari Mohad Ariffin, lawatan khas baginda ke Monaco yang bermula hari ini hingga 29 Mei adalah atas persilaan Putera Monaco, Putera Albert II.
Dalam rangka lawatan khas empat hari itu, Al-Sultan Abdullah dijadualkan berangkat mengadakan pertemuan dengan Putera Albert II di Palace of Monaco esok.
"Pada 28 Mei pula, Seri Paduka Baginda dijadualkan berangkat ke Majlis Santapan Tengah hari bersama Putera Albert II dan kerabat diraja Monaco di Heracles Palace disusuli dengan keberangkatan ke Monaco F1 Main Circuit pada sebelah petang.
"Manakala bagi lawatan khas ke Jordan pula, Seri Paduka Baginda dijadualkan berangkat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Queen Alia, Amman pada 30 Mei,"menurutnya dalam kenyataan tersebut.
Lawatan Khas Baginda ke Jordan sehingga 2 Jun adalah atas persilaan Baginda Raja Jordan, Raja Abdullah II dan kedua-dua pemimpin dijadualkan mengadakan pertemuan pada 31 Mei ini.
Pada petang 1 Jun pula, Al-Sultan Abdullah dijadual berangkat menghadiri Majlis Perkahwinan Diraja Yang Amat Mulia Putera Mahkota Jordan di Zahran Palace disusuli dengan keberangkatan ke Majlis Jamuan Sambutan Perkahwinan Diraja Al-Husseinieh Palace di Amman pada sebelah malam.
Baginda dijadualkan berangkat pulang ke tanah air pada 2 Jun 2023.
(Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah)