BUKIT MINYAK, 26 Mei-Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Pulau Pinang berjaya menumpaskan kegiatan penyelewengan minyak masak bersubsidi dengan rampasan 4,400 kilogram barang kawalan itu dalam serbuan di Batu 9 dekat sini, petang semalam.
Kegiatan lelaki berusia 50-an itu terbongkar selepas sepasukan pegawai penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Pulau Pinang menyerbu kediaman suspek di Taman Seri Tambun, Simpang Ampat semalam.
Pengarahnya, S Jegan, berkata hasil pemeriksaan pihaknya mendapati 1,557 kilogram minyak masak paket bersubsidi ditemui di rumah tamu kediaman terbabit.
Jegan turut berkata suspek mempamerkan notis tiada bekalan minyak paket subsidi untuk dijual kepada pelanggan di kedainya, meskipun dia didapati mendapat bekalan daripada pembekal.
Jelas beliau, semakan pihaknya mendapati lelaki itu mempunyai permit barang kawalan berjadual untuk menyimpan minyak masak di kedai runcitnya tetapi bukan kediaman tersebut.
“Ikut permit lelaki itu hanya boleh menyimpan 500 kilogram minyak di kedai runcitnya namun pemeriksaan menemui jumlah berganda.
"Sehubungan itu, kita telah menyita lebih 1.5 tan minyak masak paket yang bernilai RM3,892.50", katanya pada sidang media di Stor Eksibit KPDN di Bukit Minyak di sini, hari ini.
Pihaknya turut menahan seorang lelaki tempatan bagi membantu siasatan.
Kes disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961.
Sementara itu mengulas lanjut berkaitan isu kekurangan gula di Pulau Pinang, beliau menjelaskan sebanyak lima pemborong telah dilantik bagi mengatasi masalah tersebut.
"Sebanyak 5 pemborong utama telah dilantik untuk menjadi pengantara KPDN Pulau Pinang dan peruncit supaya masalah pembekalan gula dapat ditangani dengan berkesan.
"Pemborong yang dilantik ini akan bakal mendapat 30 peratus gula tambahan daripada pengilang dalam pelan tindakan yang dilaksanakan iaitu (DDW) Dedicated direct wholesale", katanya.
Jegan turut menggesa peruncit yang menghadapi masalah mendapatkan bekalan gula agae menghubungi pejabat KPDN Pulau Pinang serta boleh mendapatkan bekalan daripada pemborong yang dilantik.
"kita telah membantu lebih kurang lapan peruncit yang menghubungi pejabat untuk mendapatkan bekalan gula daripada pemborong yang dilantik oleh KPDN negeri", katanya lagi.
(Pengarah KPDN Pulau Pinang, S. Jegan/FOTO RTM)