fb fb fb fb fb

Jalan runtuh ancam keselamatan penduduk orang asli Pos Tuel

(FOTO RTM)

GUA MUSANG, 26 Mei-Lebih 1, 000 penduduk Orang Asli di Pos Tuel, Gua Musang, Kelantan terpaksa bergadai nyawa apabila perlu melalui kawasan jalan runtuh untuk melakukan urusan harian setiap hari.

Penghulu Kampung Hanir, Razak Ronggeng  berkata, kerosakan tersebut dipercayai berpunca daripada kenderaan muatan berat yang melalui jalan tersebut untuk ke tapak pertanian mereka setiap hari.  

Katanya, penduduk tiada pilihan lain kerana jalan tersebut merupakan jalan utama bagi berulang-alik ke bandar dan menghantar anak ke Sekolah Kebangsaan (SK) Hendrop.

"Saya harap pihak kerajaan negeri ambil berat tentang perkara ini dan pihak yang terlibat perlu turut bertanggungjawab", katanya di sini.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Galas, Mohd Syahbuddin Hashim berkata, aduan berkaitan jalan runtuh tersebut telah diterima pihaknya sejak tiga tahun lalu dan pihaknya telah membawa aduan itu kepada pihak berwajib.

Katanya lagi, kerja-kerja baik pulih telah dilakukan sebelum ini.

"Jalan tersebut sebenarnya telah diperbaiki sebelum ini. Jalan tersebut agak panjang dan kemungkinan kerosakannya di bahagian lain.

"Perkara ini akan berterusan dan harapan saya agar tindakan segera dapat diambil pihak berwajib kerana ia melibatkan nyawa dan keselamatan penduduk", katanya yang ditemui pemberita di Gua Musang.

Terdapat beberapa kampung yang turut menggunakan jalan berkenaan sebagai jalan utama antaranya Kampung Tuel, Kampung Hanir, Kampung Ber, Kampung Poh dan Kampung Kerbok.


(Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Galas, Mohd Syahbuddin)





Media Baharu