LABUAN, 10 Februari- Sambutan perayaan Tahun Baharu Cina di Labuan disambut meriah dan harmoni apabila diraikan oleh pelbagai kaum.
Ketika tinjauan dilakukan pemberita RTM di sekitar Labuan, semangat kekeluargaan dan kemakmuran dapat dizahirkan apabila perayaan itu disambut bersama-sama pemimpin serta rakyat pelbagai kaum menerusi majlis rumah terbuka yang diadakan.
Perbezaan budaya, kepelbagaian kaum dan perbezaan fahaman politik bukan penghalang mengukuhkan perpaduan dan hubungan silaturahim.
Ia selari dengan kepercayaan kaum itu yang berharap sambutan Tahun Naga ini akan membawa kesihatan berpanjangan, kebahagian, rezeki dan kemakmuran kepada semua.
Selain itu, kebudayaan dan kesenian kaum Tionghoa seperti persembahan tarian singa dan naga menjadi daya tarikan yang dinanti-nantikan masyarakat Labuan kerana keunikan dan gaya persembahan yang sentiasa menjadi perhatian, tidak kira peringkat umur.
Dalam pada itu, di Pulau Pinang, sambutan Tahun baharu Cina terus diraikan kaum Tionghoa dengan penuh kemeriahan.
"Pagi awal-awal kita datang sini sembahyang, selepas sembahyang kita balik Bukit Mertajam dan sembahyang lagi di sana. Waktu tengah hari kita pergi melawat rumah nenek dan rumah jiran. Harapan saya untuk tahun ini saya berharap keluarga semua gembira dan mendapat banyak wang kemudian saya ingin mengucapkan selamat Tahun Baharu Cina kepada semua," kata pekerja swasta, Justina Loh.
Bagaimanapun, bagi pelajar-pelajar Universiti Sains Malaysia (USM) yang sedang menghadapi peperiksaan, Tahun Baharu Cina kali ini tetap disambut secara sederhana bersama-sama rakan kerana tidak dapat pulang ke kampung halaman.
"Memang dari dahulu sampai sekarang, ini pertama kali saya tidak dapat beraya bersama-sama keluarga. Tetapi di sini ada kawan Melayu, ada kawan Cina juga yang tidak balik, boleh raya sama-sama. Saya harap semua orang akan terus sihat," pelajar, Chia Jia Jun.
"Sedih juga sebab tidak dapat balikkan sambut bersama-sama keluarga tetapi nasib juga ada kawan, sekali gus dapat meraikan bersama-sama semalam, kami makan di restoran secara sederhana. Sekarang 'final exam', jadi kalau balik pun alang-alang beberapa hari saja. Selepas berbincang dengan keluarga, jadi saya mengambil keputusan tinggal di sini sahaja," pelajar USM, Elysa Chin Hong.
"Perasaan ketika Tahun Baharu Cina, ini pengalaman yang baharu bagi saya. Walaupun tidak dapat balik rumah tetapi saya agak gembira juga kerana merasai pengalaman baru," pelajar USM, Emily Chin Pin Yu.