fb fb fb fb fb

Enakmen Syariah terbatal: Tidak wajar dijadikan polemik berpanjangan - Prof Shamrahayu

Pakar Perlembagaan dan kenegaraan, Profesor Madya Datuk Dr. Shamrahayu Ab. Aziz

KUALA LUMPUR, 10 Februari - Pembatalan 16 Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan bukan ancaman besar kepada undang-undang syariah seperti dakwaan sesetengah pihak.

Pakar Perlembagaan dan kenegaraan, Profesor Madya Datuk Dr. Shamrahayu Ab. Aziz berkata, keputusan Mahkamah Persekutuan itu hanya berkait soal pengasingan kuasa perundangan antara persekutuan dan negeri.

Katanya, keputusan tersebut tidak wajar dijadikan polemik berpanjangan.

"Tidak benarlah kalau tohmahan (yang) mengatakan orang Kelantan telah bebas melakukan kesalahan-kesalahan (berdasarkan) enakmen yang telah dibatalkan. Mereka masih lagi tertakluk kepada undang-undang atau akta yang dibuat oleh Parlimen. Ini kerana akta atau undang-undang yang dibuat oleh Parlimen adalah terpakai kepada semua pihak.

"Kesalahan-kesalahan enakmen 16 itu masih lagi menjadi undang-undang bagi negara kita, yang mana pertuduhan atau pendakwaan itu boleh dilakukan menurut undang-undang Persekutuan di mahkamah pada peringkat Persekutuan," katanya ketika dihubungi RTM di sini hari ini.

Semalam,
Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat, yang mengetuai panel sembilan anggota Mahkamah Persekutuan berkata pembatalan 16 enakmen itu tiada kena-mengena dengan kedudukan Islam atau Mahkamah Syariah di negara ini.


Tengku Maimun melalui penghakimannya berkata isu yang perlu diputuskan ialah sama ada Badan Perundangan Negeri Kelantan membuat peruntukan terbabit mengikut batasan ditentukan oleh Perlembagaan Persekutuan atau sebaliknya.

Menerusi keputusan majoriti 8-1, Tengku Maimun berkata, Mahkamah Persekutuan memutuskan bahawa 16 kesalahan di bawah enakmen itu adalah batal dan tidak sah.






GRACE AISYAH KEDAYAN