KUALA LUMPUR, 24 Jun – Sambutan Maal Hijrah 1447H kali ini akan menggunakan konsep lebih inklusif dan mendekati rakyat.
Menurut Imam Besar Masjid Negara, Ehsan Mohd Hosni, kelainan sambutan tahun ini terletak pada pendekatan lebih menyeluruh serta melibatkan pelbagai lapisan masyarakat, termasuk generasi muda.
Selari dengan tema tahun ini iaitu“Membangun Ummah Madani”, bertepatan dengan aspirasi kerajaan untuk membentuk masyarakat seimbang dari segi rohani, sosial dan intelektual.
“Kelainan sambutan tahun ini ialah pendekatan yang lebih inklusif dan merakyat. Bukan sekadar mengadakan bacaan doa atau perhimpunan rasmi, tetapi turut menampilkan tokoh muda, persembahan kerohanian serta pengisian ilmu yang menyentuh hati. Ini supaya semangat hijrah benar-benar meresap dalam kehidupan rakyat,” katanya ketika ditemui media selepas program Selamat Pagi Malaysia di Angkasapuri.
Sambutan akan berlangsung selama dua hari, bermula dengan Majlis Bacaan Doa Akhir dan Awal Tahun yang dijadualkan berlangsung di Masjid Negara pada malam 1 Muharram.
Turut dijadualkan hadir Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd Na'im Mokhtar.
Acara akan disambung keesokan harinya, Jumaat pagi, menerusi Perhimpunan Maal Hijrah Peringkat Kebangsaan yang dijangka dihadiri oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, serta barisan kepimpinan tertinggi negara.
Antara keistimewaan sambutan tahun ini termasuklah tausiyah khas oleh Prof Madya Datuk Dr. Mohd Izhar Ariff Mohd Kashim, serta bacaan al-Quran oleh Johan Tilawah Kebangsaan, Saudara Aiman Ridzuan, seorang qari muda yang bakal mewakili negara di peringkat antarabangsa.
Ehsan turut menekankan bahawa hijrah bukan hanya sekadar memperingati peristiwa sejarah Rasulullah SAW, sebaliknya perlu difahami sebagai manifestasi perubahan dan pembinaan diri, keluarga serta masyarakat.
Beliau berkata, penyertaan golongan muda dalam pengisian program kali ini mencerminkan komitmen pihak penganjur untuk memupuk penghayatan agama dan nilai Madani dalam era digital.