fb fb fb fb fb

Raja Muda dan Raja Puan Muda Perlis terima anugerah tertinggi peringkat antarabangsa

Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil berkenan hadir pada Majlis Promosi Masakan Perlis bersempena Majlis Penganugerahan Dewan Kehormatan Ubudiyah di Universitas Deztron, Medan, Indonesia

MEDAN, 25 September -Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil menerima Anugerah Tertinggi peringkat antarabangsa.

Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail telah dianugerahkan Anugerah Dewan Kehormatan Ubudiyah, manakala Tuanku Dr Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil turut menerima Anugerah Bakti Mulia Ubudiyah.

Penganugerahan itu sebagai pengiktirafan terhadap sumbangan baginda berdua dalam memartabatkan bidang pendidikan, memperkukuh kebajikan dan menegakkan kepimpinan berwawasan di peringkat serantau.

Dalam titahnya, Tuanku Syed Faizuddin menzahirkan penghargaan kepada Universitas Deztron Indonesia bawah pimpinan Profesor Adjunct. Dr. MARNIATI serta Yayasan Ubudiyah Indonesia yang dipimpin oleh Dedi Zefrizal atas penganugerahan yang disifatkan sebagai simbol tanggungjawab luhur dan pengiktirafan terhadap usaha memperkasa ilmu dan kebajikan.

"Anugerah ini memperteguhkan iltizam Raja Puan Muda Perlis dan saya sendiri untuk terus berkhidmat, mengangkat martabat ilmu dan menyinari kehidupan umat dengan cahaya harapan. Di sini saya turut menghargai jasa Profesor Emeritus Datuk Dr Kamarudin Hussin, Pengerusi FCoEE yang bernaung bawah Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) atas peranan besar dalam memperkukuh jaringan antarabangsa," titah Baginda pada Majlis Penganugerahan Anugerah Dewan Kehormatan Ubudiyah di Universitas Deztron, Medan, Indonesia.

Baginda mendedikasi anugerah diterima bersama Raja Puan Muda daripada Universitas Deztron Indonesia kepada seluruh pendidik dan pejuang masyarakat dimana mereka adalah wira tanpa senjata berjuang dengan keikhlasan demi membina asas tamadun bangsa. 

Sementara itu, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan mempromosikan makanan tempatan Negeri Perlis di sini, iaitu Kurma Daging Perlis. 

Baginda memilih masakan daging kurma sebagai hidangan untuk diperkenalkan pada sesi Perlis Food Promotion untuk disajikan kepada pelanggan di  Kafe Pejuang di Universitas Deztron berkenaan. 

 

TETITIA YUSOFF