SEPANG, 25 September- Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi menyambut baik pengiktirafan negara-negara terhadap Palestin termasuk United Kingdom yang baru-baru ini menyatakan pendirian mereka.
"United Kingdom sendiri, 75 tahun yang lalu merupakan pihak yang mewujudkan wilayah Israel. Namun, 75 tahun kemudian, semalam mereka turut mengiktiraf negara Palestin.
"Ini merupakan perubahan yang sangat luar biasa," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mengaktifkan Sumud Nusantara Command Centre (SNCC) di MAPIM Central Warehouse, di sini, hari ini.
Di pentas Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa Bersatu (UNGA), majoriti negara Eropah kini mengiktiraf Palestin, antaranya Perancis, Belgium, Luxembourg, Malta, Andorra, Monaco, United Kingdom, Kanada, Australia dan Portugal.
Dengan perkembangan itu, hampir 80 peratus daripada anggota Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) iaitu 151 daripada 193 negara, kini secara rasmi mengiktiraf Palestin.
Menurut Ahmad Zahid, pengiktirafan itu adalah sokongan moral yang amat penting buat rakyat Palestin yang kini berdepan keadaan getir di Gaza dengan tiga perempat wilayahnya musnah akibat serangan berterusan.
"Kita harap rakyat Gaza dengan dukungan serta doa seluruh umat akan terus cekal memihak kepada mereka," katanya.