PETALING JAYA, 25 September- Malaysia dilihat semakin ke hadapan dalam industri aset digital, apabila kerajaan menekankan kepentingan memacu transaksi, menjana pendapatan dan menggalakkan penggunaan teknologi kewangan itu secara meluas.
Menteri Digital, Gobind Singh Deo berkata, aset digital berkembang pesat dan kini berubah daripada sekadar konsep kepada komponen penting dalam sistem kewangan global.
"Aset digital berkembang pesat dengan sokongan besar daripada banyak negara termasuk Malaysia. Pada masa depan, kita akan menyaksikan lonjakan transaksi, dan persoalan utama kini ialah bagaimana aset ini boleh dimonetisasi serta digalakkan penggunaannya secara lebih meluas.
"Persidangan seperti ini penting kerana memberi ruang kepada institusi berkongsi pandangan tentang hala tuju masa depan," kepada pemberita selepas menghadiri Persidangan Aset Digital Institusi Luno, di sini, hari ini.
Menurut beliau, di bawah Pelan Induk Sektor Kewangan 2022-2026, Malaysia sedang memposisikan diri sebagai negara berpandangan jauh serta bersedia menerima inovasi kewangan digital.
Pada tahun 2019, Malaysia menjadi antara negara terawal di rantau ini yang mengawal selia industri aset digital, apabila Suruhanjaya Sekuriti memperkenalkan garis panduan jelas melalui kerangka Recognised Market Operator (RMO) bagi mengawal selia bursa aset digital.