KUALA LUMPUR, 25 September- Memorandum Persefahaman (MoU) mengenai Grid Kuasa ASEAN (ASEAN Power Grid, APG) akan ditandatangani pada Mesyuarat Menteri-Menteri Tenaga ASEAN minggu kedua Oktober ini.
Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata perjanjian itu menandakan peralihan penting daripada perdagangan kuasa dua hala kepada multilateral, dengan tumpuan kepada kebolehoperasian, penyeragaman peraturan dan model perdagangan tenaga rentas sempadan.
"Langkah ini menandakan peralihan penting daripada perdagangan kuasa dua hala kepada perdagangan kuasa pelbagai hala.
Visi kami adalah untuk memperkukuh sambungan rentas sempadan antara negara anggota ASEAN, disertai tadbir urus serta penyelarasan yang lebih berkesan bagi memastikan kelancaran operasi," kata Datuk Seri Fadillah pada Sidang Kemuncak Perniagaan ASEAN-EU 2025 di ibu negara, hari ini.
Tambahnya, Malaysia berminat menimba pengalaman Kesatuan Eropah (EU) dalam membangunkan grid tenaga bersambung bagi mempercepatkan pelaksanaan APG, termasuk dari aspek teknikal, kewangan dan tadbir urus.
Fadillah turut merujuk kepada projek integrasi kuasa Laos-Thailand-Malaysia-Singapura (LTMS) sebagai asas kepada peluasan perdagangan elektrik serantau.
Sebagai Pengerusi ASEAN 2025, Malaysia menetapkan tema “Menjana ASEAN: Merapatkan Sempadan, Membina Kemakmuran”, dengan APG dilihat sebagai pemangkin keselamatan tenaga dan peralihan ke arah ekonomi hijau rantau ini.