fb fb fb fb fb

Malaysia tingkat diplomasi demi keselamatan peserta misi kemanusiaan ke Gaza

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata bercakap kepada media pada sidang media selepas mengaktifkan Sumud Nusantara Command Centre (SNCC) di MAPIM Central Warehouse, di Sepang

SEPANG, 25 September -Malaysia akan mempergiat usaha diplomatik dengan negara sahabat demi keselamatan 34 rakyat Malaysia yang menyertai misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) ke Gaza, selain lebih 500 peserta antarabangsa lain.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, ini memandangkan negara tidak mempunyai hubungan diplomatik dengan Israel dan memerlukan saluran diplomatik menerusi negara berdekatan.

"Disebabkan Malaysia tidak mempunyai hubungan diplomatik dengan Israel, kita akan memohon bantuan negara-negara sahabat yang berhampiran untuk membantu sekiranya berlaku sebarang situasi genting,” beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah bercakap pada sidang media selepas mengaktifkan Sumud Nusantara Command Centre (SNCC) di MAPIM Central Warehouse, di sini.

Katanya, kerajaan turut menyediakan barisan peguam bagi memberikan nasihat serta perlindungan daripada segi perundangan sekiranya berlaku tindakan undang-undang atau tindakan agresif oleh pihak Israel terhadap aktivis flotila.

Tambahnya beliau akan menghubungi Menteri Luar, yang kini menghadiri Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA), bagi membincangkan bantuan segera.

Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid juga akan berbincang dengan Menteri Pertahanan mengenai kaedah terbaik untuk Angkatan Tentera Malaysia (ATM) membantu, termasuk dalam proses membawa pulang aktivis setelah misi selesai.

"Saya juga akan berbincang dengan Menteri Pertahanan bagaimana kaedah terbaik ATM boleh membantu, termasuk proses membawa pulang 34 aktivis kita setelah misi ini selesai,” katanya.

Terdahulu, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid mengadakan sesi persidangan video bersama semua aktivis Malaysia yang menyertai misi flotila, sebagai tanda solidariti kerajaan dan rakyat terhadap perjuangan mereka membawa bantuan ke Gaza.

Turut hadir pada majlis pengaktifan SNCC itu ialah Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA), Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki, serta Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM), Datuk Sani Araby.

Beliau turut menyeru media arus perdana serta netizen untuk memberikan liputan meluas mengenai perjuangan flotila berkenaan.

"Saya mohon kerjasama semua media cetak, elektronik dan media sosial untuk liputan terbaik kepada mereka. Netizen juga boleh memainkan peranan besar dengan menyebarkan kisah perjuangan ini di platform masing-masing. Mereka adalah wira kita,” katanya.

Dalam pada itu, beliau menghargai sokongan negara-negara yang mengiktiraf Palestin, termasuk United Kingdom UK) yang baru-baru ini turut berbuat demikian walaupun 75 tahun lalu pernah menjadi antara pihak yang mewujudkan Israel.

"Gaza kini semakin mengecil, tiga perempat wilayahnya musnah. Namun dengan doa, sokongan antarabangsa dan kecekalan rakyat Palestin, perjuangan ini akan tetap memihak kepada mereka," tambahnya.

TETITIA YUSOFF