fb fb fb fb fb

Transformasi digital ASEAN diperkukuh menerusi kerjasama serantau

Menteri Digital, Gobind Singh Deo

KUALA LUMPUR, 25 September -Agenda memperkukuh Transformasi Digital boleh dicapai menerusi kerjasama erat dengan negara-negara anggota ASEAN.

Menteri Digital, Gobind Singh Deo berkata, inisiatif kerjasama serantau itu mampu membuka potensi pasaran lebih luas, selaras dengan jumlah populasi ASEAN yang kini mencecah hampir 700 juta penduduk.

"Perlu lihat adalah bagaimana kita boleh mewujudkan satu suasana bawah setiap negara di dalam ASEAN dapat bekerjasama supaya kita boleh lihat pasaran kita lebih luas daripada pasaran domestik kita sendiri. Kalau Malaysia kita lihat kepada pasaran di mana rakyat kita 34 juta, di ASEAN keseluruhannya lebih kurang 700 juta.

"Jadi potensi untuk kita dapat pasaran yang lebih luas itu cukup ternyata." katanya kepada pemberita selepas sesi perkongsian idea Asean-EU Business Summit -"Digital Technologies as game changer, reshaping job, sustainability and growth in ASEAN", di ibu negara.

Menurutnya, satu kaedah perlu diwujudkan bagi mempermudah sebarang transaksi luar negara dibuat, selain meraih keuntungan yang lebih tinggi dalam kalangan negara anggota.

Beliau berharap agar perjanjian Digital Economy Framework Agreement (DFA) dapat dimeterai bagi membolehkan transaksi lepas sempadan dibuat, sekali gus merancakkan lagi potensi perniagaan secara global.

"Bagaimana kita boleh menyediakan satu ekosistem yang membolehkan kita membuat transaksi luar daripada negara kita dengan lebih mudah dan dalam kaedah itu kita melihat keuntungan yang lebih tinggi untuk setiap negara.

"Ini sekali gus memperkukuhkan lagi ekonomi ASEAN secara menyeluruh. Itu adalah apa yang kita hendak, itu adalah target kita. Dan di ASEAN kita ada inisiatif di mana kita hendak menangani satu perjanjian yang dikenali sebagai Digital Economy Framework Agreement." katanya.

Menerusi DFA, potensi perniagaan dapat digerakkan hingga ke tahun 2030 dengan jangkaan pendapatan sebanyak AS$2 trilion berbanding hanya AS$1 trilion sekiranya tiada sebarang perjanjian berkaitan dilakukan.

TETITIA YUSOFF