fb fb fb fb fb

Vaksin dan Paracetamol selamat, tiada kaitan dengan Autisme

Foto fail/BERNAMA

KUALA LUMPUR, 25 September -Tiada bukti saintifik yang mengaitkan pemberian vaksin kanak-kanak dan penggunaan paracetamol semasa hamil, menjadi punca autisme.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Mahathar Abd Wahab dalam satu kenyataan memaklumkan, malahan vaksin terbukti telah menyelamatkan sekurang-kurangnya 154 juta nyawa dalam tempoh 50 tahun lalu.

"Autisme merupakan spektrum penyakit gangguan perkembangan otak yang berterusan dan kekal, melibatkan hampir 62 juta orang di seluruh dunia.

"Punca sebenar autisme masih belum difahami sepenuhnya, namun ia dipercayai berpunca daripada faktor biologi, genetik dan persekitaran, bukan vaksin," menurut kenyataan itu.

WHO turut mengesahkan bahawa penggunaan paracetamol ketika hamil adalah selamat dengan mengikut dos dan nasihat doktor.

"Paracetamol sudah lama digunakan secara meluas termasuk wanita hamil. Berdasarkan garis panduan klinikal terkini, ia kekal antara pilihan paling selamat jika diambil pada dos terendah yang berkesan serta untuk tempoh sesingkat mungkin," katanya.

Sementara itu, mengenai dakwaan folinic acid (leucovorin) mampu merawat autisme, Dr Mahathar menegaskan bukti saintifik masih terhad kepada kajian kecil dan belum boleh dianggap sebagai rawatan standard.

Orang ramai dinasihatkan agar tidak mudah terpengaruh dengan dakwaan tanpa asas saintifik kukuh, selain menegaskan komitmen KKM memastikan semua ubat dan vaksin selamat serta berkesan.

TETITIA YUSOFF