fb fb fb fb fb

MATA ingatkan pemain industri pelancongan bersedia hadapi risiko konflik Asia Barat

Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 24 Jun- Persatuan Agensi Pelancongan Malaysia (MATA) mengingatkan semua pemain industri pelancongan agar lebih bersedia menghadapi sebarang kemungkinan susulan insiden peperangan di Asia Barat.

Ini termasuk mengambil inisiatif menyemak semula pelan pemasaran dan penyesuaian harga pakej pelancongan.

Presiden MATA, Datuk Seri Dr. Mohd Khalid Harun berkata, antara impak yang dijangka ialah kenaikan kos minyak global yang boleh mendorong kepada peningkatan harga tiket penerbangan dan kos pengendalian pelancongan.

Selain itu, peningkatan pembatalan pakej pelancongan ke rantau tersebut juga dijangka berkemungkinan akan berlaku disebabkan faktor keselamatan dan ketidaktentuan pasaran.

"MATA memandang serius perkembangan semasa di Asia Barat yang dilihat boleh memberi kesan besar kepada industri
pelancongan negara sekiranya konflik berlanjutan," katanya menerusi kenyataan hari ini.

MATA turut menyarankan agar ahli-ahli serta penggiat industri mempertimbangkan peralihan tumpuan pasaran ke negara-negara ASEAN dan Asia yang lebih stabil buat masa ini, bagi mengurangkan kebergantungan kepada pasaran Asia Barat yang kini terjejas.

"Keanjalan dan daya tahan industri pelancongan Malaysia amat penting dalam menghadapi cabaran geopolitik semasa. MATA akan terus bekerjasama rapat dengan MOTAC dan agensi-agensi berkaitan untuk memastikan kelangsungan dan daya saing industri pelancongan negara," katanya.

Pada masa sama, MATA menerusi kenyataan tersebut juga memaklumkan pihaknya ingin mengetahui lebih jelas pelan dan langkah kontingensi yang sedang disediakan oleh Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC).

Ia khusus sekiranya peperangan itu berlanjutan dan memberi kesan jangka panjang kepada aliran pelancong masuk dan keluar negara.

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM