SELAYANG, 24 Jun– Keputusan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2024 mencatat sejarah apabila Purata Nilai Gred Keseluruhan (PNGK) nasional meningkat kepada 2.85, tertinggi sejak sistem peperiksaan ini diperkenalkan.
Pengerusi Majlis Peperiksaan Malaysia (MPM), Professor Datuk Dr Md Amin Md Taff, berkata peningkatan sebanyak 0.01 mata berbanding PNGK 2.84 pada tahun lalu merupakan pencapaian yang membanggakan dan mencerminkan usaha berterusan pelajar serta guru dalam menghadapi peperiksaan prauniversiti tersebut.
“Lebih membanggakan, seramai 1,266 calon atau 3.06 peratus memperoleh PNGK penuh 4.00, meningkat sebanyak 150 calon berbanding tahun 2023,” katanya dalam sidang media pengumuman keputusan STPM 2024 di sini, hari ini.
Selain itu, daripada segi pencapaian PNGK calon, secara keseluruhannya peratusan longgokan calon STPM 2024 pada PNGK 3.75 dan ke atas ialah 10.71 peratus; PNGK 3.00 dan ke atas (44.97 peratus); PNGK 2.75 dan ke atas (58.96 peratus) dan PNGK 2.00 dan ke atas (90.10 peratus) iaitu meningkat berbanding tahun 2023.
Sementara itu, bilangan calon yang memperoleh lima A dalam semua mata pelajaran juga meningkat kepada 53 calon, berbanding 41 calon pada tahun lalu.
Dalam meraikan kecemerlangan, MPM turut mengiktiraf 20 pelajar terbaik STPM kebangsaan yang dipilih mengikut kategori, masing-masing menerima wang tunai RM1,000, plak penghargaan dan sijil anugerah.
“Lapan pelajar dari aliran sains, lapan dari sains sosial, seorang dari kategori Orang Asli serta tiga pelajar pendidikan khas dipilih sebagai pelajar terbaik kebangsaan STPM 2024,” jelas beliau.
Dalam pada masa sama, Kementerian Pendidikan Malaysia dan MPM akan memberikan anugerah kepada Pusat Tingkatan Enam yang memperoleh pencapaian Gred Purata Pusat Tingkatan Enam terbaik yang mempunyai bilangan calon sekurang-kurangnya 40 orang mengikut kategori.
Dalam usaha mengiktiraf kecemerlangan institusi, Kementerian Pendidikan Malaysia bersama MPM turut menganugerahkan insentif kewangan kepada Pusat Tingkatan Enam terbaik berdasarkan kategori, termasuk hadiah utama RM10,000 kepada kolej dan pusat dengan pencapaian tertinggi.