fb fb fb fb fb

Sambutan luar biasa, 45,000 pengunjung hadir ke PMR 2025 Johor

Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar ketika ditemui pemberita

JOHOR BAHRU, 24 Mei - Seramai 45,000 pengunjung hadir memeriahkan Program MADANI Rakyat (PMR) 2025 peringkat negeri Johor setakat hari kedua penganjurannya, sekali gus mengatasi sasaran awal sebanyak 10,000 pengunjung.

Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar berkata, program itu diadakan bagi meningkatkan pemahaman rakyat terhadap dasar MADANI, di samping mendekatkan mereka dengan nadi kepimpinan negara.

"Apabila rakyat faham, maka pihak kerajaan tahu apa yang boleh kita tawarkan kepada rakyat, kerana ada juga dalam kalangan rakyat yang tidak memahami dasar MADANI. Tetapi dengan adanya
program seperti ini, mereka sedar apa yang sedang dilaksanakan kerajaan dan semua ini adalah dibuat untuk memudahkan rakyat demi kesejahteraan mereka," katanya.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas sesi walkabout sempena Program MADANI Rakyat 2025 Negeri Johor, di sini.

Antara tarikan PMR 2025 Johor adalah pembaharuan pasport dalam tempoh dua jam di reruai pameran Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan semakan saman Polis Di Raja Malaysia (PDRM).

PDRM turut menawarkan diskaun saman trafik sebanyak 50 peratus sempena program itu.

TETITIA YUSOFF