fb fb fb fb fb

PLSB fasa 1 Kelantan hampir siap, elak kerugian banjir RM4 bilion setahun

Foto- PETRA

TUMPAT, 24 Mei – Projek Lembangan Sungai Bersepadu (PLSB) Fasa 1 di Kelantan kini hampir siap dengan kemajuan kerja mencecah 96 peratus.

Projek yang dijangka siap sepenuhnya pada September tahun depan itu bakal memberi perlindungan banjir kepada lebih 95,000 penduduk.

Selain itu, pelaksanaan projek turut membawa limpahan manfaat ekonomi dan meningkatkan kesejahteraan komuniti setempat.

Ketua Setiausaha Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA), Datuk Mad Zaidi Mohd Karli berkata, projek itu menelan belanja lebih RM669 juta.

Menurut beliau, PLSB mampu mengurangkan kerugian banjir tahunan yang dianggarkan mencecah lebih RM4 bilion setiap tahun.

"Fasa satu impak sekarang ini telah pun ditunjukkan. Alhamdulillah, saya difahamkan masa banjir, tak sampai ke peringkat melimpahi kawasan ini. Ada lagi margin lebih kurang 200 meter. Ini merupakan inisiatif mengelakkan banjir berlaku di kawasan sekitar," katanya.

Tambah beliau, fasa pertama ini juga telah berjaya mengelakkan pemindahan lebih 95,000 penduduk yang sebelum ini terdedah kepada bencana banjir.

Sementara itu, Ketua Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Ir Mohamad Radzi Abdul Talib berkata, PLSB Fasa 2 kini dalam fasa akhir reka bentuk.

Katanya, proses pengambilan tanah dijangka bermula pada hujung tahun 2026 atau awal 2027.

"Fasa kedua ini diperuntukkan RM851 juta. Ia melibatkan anak-anak sungai dalam bandar Kota Bharu, lebih kepada kerja pembaikan parit dan anak sungai," ujarnya.

Terdahulu, Datuk Mad Zaidi turut merasmikan pelepasan di pejabat Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) Kelantan.

Beliau kemudian meneruskan lawatan kerja ke stesen pengecas kenderaan elektrik (EV) di Aeon Mall Kota Bharu.

NUR SHARIDA SHAHABUDDIN