BUKIT MERTAJAM, 24 Mei – Loji Rawatan Air (LRA) Taman Mengkuang akan menggunakan sumber air mentah dari Empangan Mengkuang Diperbesarkan (EMD) sebagai sumber utama bekalan air terawat bagi kawasan Seberang Perai Tengah.
Projek bernilai RM250 juta itu dijangka menyumbang tambahan 114 juta liter air terawat sehari.
Langkah ini akan meningkatkan keupayaan bekalan air bersih ke seluruh negeri Pulau Pinang.
Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, EMD akan mula berfungsi sebagai empangan harian bermula November tahun depan.
Menurutnya, rizab air mentah dari empangan itu akan digunakan secara konsisten dan bukan lagi hanya semasa kecemasan.
Empangan Mengkuang juga akan berperanan sebagai empangan dua fungsi dengan turut menjadi sumber air mentah sokongan kepada LRA Sungai Dua.
Langkah ini dijangka dapat mengurangkan kebergantungan kepada LRA Sungai Dua yang kini menjadi loji utama negeri.
Chow berkata, penukaran fungsi empangan ini adalah sebahagian daripada usaha menyahpusat (decentralize) sistem rawatan air negeri.
Sebelum ini, negeri bergantung sepenuhnya kepada LRA Sungai Dua di Seberang Perai Utara.
Dengan pelaksanaan ini, sistem rawatan air akan menjadi lebih menyeluruh melalui beberapa loji termasuk dua lagi projek di Seberang Perai Selatan.
Sungai Kerian turut dikenal pasti sebagai sumber air mentah baharu untuk rawatan air oleh Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP).
Pembinaan LRA Taman Mengkuang dijangka mengambil masa 18 bulan dan bakal siap pada November 2026.
Projek ini merupakan komponen ketiga di bawah Pelan Kontigensi Air 2030 (WCP2030) oleh PBAPP.
Ia sebahagian daripada usaha memperkukuh infrastruktur bekalan air bagi memenuhi permintaan jangka panjang negeri.
Chow ditemui selepas merasmikan Majlis Pecah Tanah Projek Loji Rawatan Air Taman Mengkuang di sini, hari ini.