KUALA LUMPUR, 7 Mac- Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) memilih ‘Saksama Bersama’ sebagai tema sambutan Hari Wanita 2022 yang akan disambut esok.
Timbalan Menterinya, Datuk Siti Zailah Mohd Yusoff berkata tema itu dipilih bagi meningkatkan kesedaran dan kefahaman masyarakat terhadap kepentingan mencapai kesaksamaan bersama bagi memastikan potensi wanita dapat diupaya dan dioptimumkan.
Tema itu juga disesuaikan dengan konsep Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 yang memberi tumpuan kepada pembangunan secara mampan dengan pengagihan ekonomi yang adil, saksama dan inklusif.
"Negara mengiktiraf peranan wanita yang signifikan dalam pelbagai sektor bagi pembangunan negara. Sumbangan besar wanita yang mewakili 48.62% (15.9 juta wanita – Data pada Suku Keempat Tahun 2021, Jabatan Perangkaan Malaysia, DOSM) populasi Malaysia tidak dapat dinafikan, lebih-lebih lagi wanita merupakan tulang belakang keluarga yang menjadi asas generasi pemimpin negara seterusnya," kata beliau ketika dalam sidang media di Parlimen.
Tambah Datuk Siti Zailah lagi, Sambutan Hari Wanita 2022 Peringkat Kebangsaan sedang berlangsung di Kuala Lumpur Convention Centre (KLCC) bermula semalam hingga esok dan akan dirasmikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
(Timbalan Menteri KPWKM, Datuk Siti Zailah Mohd Yusoff pada sidang media di Parlimen hari ini)
Sambutan kali ini akan melibatkan aktiviti-aktiviti pameran kerjaya dan peluang perniagaan yang memberi akses kepada Wanita untuk menjana pendapatan.
Antara aktiviti yang disediakan adalah Temuduga Terbuka, Jualan Aidilfitri, Jualan Kembali ke Sekolah, Dana Perniagaan dan Pengisian Interaktif.