fb fb fb fb fb

Lebih 1,000 pengusaha rugi lebih RM10 juta akibat banjir di Terengganu

KUALA TERENGGANU, 7 Mac- Lebih 1,000 pengusaha kerugian lebih RM10 juta melibatkan sektor pertanian, penternakan dan perikanan akibat banjir gelombang kelima di Terengganu hujung Februari lalu.

Data awal tersebut diperolehi daripada laporan yang dibuat pengusaha terlibat kepada agensi dibawah sektor masing masing.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar Negeri Terengganu, Dr Azman Ibrahim berkata mereka yang terkesan akan menerima bantuan segera melalui Tabung Bencana Pertanian Negeri Terengganu.

Bagaimanapun mesyuarat mengenai perkara ini akan dibincangkan dalam masa terdekat bagi menambah peruntukan sedia ada untuk disalurkan bantuan dengan segera.

"Saya dah membentangkan data awal kepada Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri untuk diambil perhatian kerana Tabung Bencana Pertanian kita hanya berjumlah RM1 juta sahaja. RM1 juta ini bagi kegunàan sepanjang tahun dari Januari hingga Disember 2022 yang meliputi sektor pertanian, penternakan dan perikanan. Insya-Allah kerajaan akan mempertimbangkan satu jumlah yang sesuai, yang kita tengok ini adalah keperluan mendesak rakyat kita, yang penting rakyat kita mampu bangkit kembali," kata Dr Azman kepada pemberita RTM selepas menyempurnakan Bengkel dan Persidangan Perlindungan Radiasi hari ini.


(Pengusaha kolam ternakan ikan turut terkesan dalam bencana banjir yang berlaku di Terengganu baru-baru ini)

Para petani, penternak dan perikanan yang terjejas banjir baru-baru ini boleh membuat laporan dengan agensi kerajaan berkaitan beserta gambar kemusnahan untuk pegawai membuat siasatan serta penilaian.

Terengganu dilanda banjir dari 25 Februari hingga 5 Mac dan bencana kali ini disifatkan yang paling teruk dalam lima episod gelombang Monsun Timur Laut sejak 2 Disember 2021.

Media Baharu