fb fb fb fb fb

Banjir kilat, terowong SMART ditutup sepenuhnya

KUALA LUMPUR, 7 Mac - Terowong Lebuhraya SMART ditutup sepenuhnya kepada pengguna bagi persediaan operasi banjir susulan hujan lebat sejak pukul 4.00 petang tadi.

Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) melalui hantaran di Facebook memaklumkan beberapa laluan terjejas antaranya laluan masuk terowong dari Taman Desa & Cheras menghala ke pusat bandar serta susur keluar terowong dari pusat bandar menghala kTe Cheras.

Turut terjejas banjir melibatkan laluan Besraya Expressway dari pusat bandar ke Salak Selatan, dari Kuchai ke Salak Jaya dan dari Kampung Malaysia ke Kuchai.

(Kenderaan yang hampir tenggelam kerana banjir kilat di ibu negara/FOTO media sosial)

Selain itu banjir kilat di lebuhraya Kesas mengakibatkan empat lorong terhalang di Plaza Tol Awan Besar arah Barat serta hanya satu lorong boleh dilalui di KM48.3 arah Timur menuju ke persimpangan Sukom.

Keadaan terkini setakat pukul 5.28 petang, LLM melaporkan trafik perlahan di KM7.7 sehingga susur turun Kuchai Lama arah Kuala Lumpur, di KM 8.0 sehingga susur turun Bukit Jalil menuju ke arah Putrajaya dan trafik perlahan di KM1.2 sehingga susur keluar ke Ramp Tun Razak arah Kuala Lumpur.

Sementara itu, SMART Tunnel melalui hantaran di Facebook berkata, kelewatan untuk menutup laluan itu kepada pengguna bergantung kepada mod operasi SMART.

"Kami tutup untuk kenderaan memang agak lambat berbanding operasi banjir yang telah bermula lebih awal iaitu ketika mode 2 dan 3. Hanya pada mod 4 baharu bahagian trafik ditutup," menurut kenyataan itu.

Difahamkan mod operasi SMART pada tahap mod dua (2) ialah air banjir mengalir di bahagian bawah terowong kemudian terowong trafik dibuka untuk laluan trafik masuk dan keluar menuju ke arah Kuala Lumpur.

Manakala bagi mod tiga (3) pula, air banjir mengalir di bahagian bawah terowong kemudian terowong akan ditutup dan dikosongkan daripada kenderaan.

Mod empat (4 ) bermaksud air banjir dialirkan ke laluan trafik (upper deck dan lower deck), kemudian terowong trafik ditutup dan dikosongkan sepenuhnya daripada kenderaan.

 

 

Media Baharu