fb fb fb fb fb

Sambutan Hari Raya di seluruh negara hari ini dimulakan dengan solat sunat Aidilfitri

(Orang ramai mengambil peluang bergambar kenangan bersama keluarga selepas menunaikan solat sunat Aidilfitri di Masjid Zahir hari ini/BERNAMA)

Di Terengganu, 2 MEI - Cuaca yang baik membolehkan kira-kira 3,000 umat Islam menunaikan solat sunat Aidilfitri di Masjid Al-Muktafi Billah Shah, Ladang, Kuala Terengganu pagi tadi.

Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin berkenan berangkat menyertai masyarakat sekitar.

Turut berangkat Yang di-Pertuan Muda Terengganu, Tengku Muhammad Ismail.

Sebaik selesai menunaikan solat sunat Aidilfitri, Sultan Mizan dan Tengku Muhammad Ismail menziarahi makam diraja yang terletak di perkarangan masjid sebelum berangkat pulang ke Istana.

Di Kelantan, Sultan Kelantan Sultan Muhammad V berangkat menunaikan solat sunat Aidilfitri di Masjid Al Ismaili Bandar Baru, Pasir Pekan, Tumpat.

Baginda yang berjubah coklat dan berkopiah menyertai lebih 2,000 jemaah.

Mengiringi baginda, Tengku Mahkota Kelantan, Dr Tengku Muhammad Faiz Petra, serta Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob.

Tinjauan RTM mendapati jemaah yang hadir seawal jam 7:00 pagi masih menitikberatkan aspek pencegahan penularan jangkitan COVID-19 biarpun beberapa kelonggaran Prosedur Operasi Standard (SOP) telah mula diberikan kerajaan sejak semalam.

Jemaah yang hadir kekal memakai pelitup muka dan membawa sejadah sendiri ketika berada dalam perkarangan masjid.

Suasana serupa juga dilihat di Masjid Negeri Pulau Pinang.

Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak dan isteri Toh Puan Seri Khadijah Mohd. Noor tiba pada pukul 8.40 pagi, bagi menunaikan solat sunat Aidilfitri bersama kira-kira 5,000 jemaah.

(Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak (dua, kanan) menunaikan solat sunat Aidilfitri di Masjid Negeri Pulau Pinang hari ini/BERNAMA)

Khutbah bertajuk 'Aidilfitri Dirai Hikmahnya Dihayati' disampaikan oleh Imam Besar Masjid Negeri, Ustaz Mohd Nordin Samah

Selesai solat sunat Aidilfitri, kesemua jemaah dilihat masih terus mengamalkan SOP.

Di Melaka pula, Yang Dipertua Negeri, Tun Dr Mohd Ali Mohd Rustam menunaikan solat sunat Aidilfitri bersama hampir 3,000 jemaah di Masjid Al Azim, Bukit Palah.

Solat dipimpin oleh Imam Besar masjid negeri, Datuk Mohammad Hashim.

Hadir sama, Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md Ali.

Semasa ditemui pemberita beliau menasihati masyarakat di Melaka agar menjaga kesihatan masing-masing walaupun banyak kelonggoran SOP telah diberikan.

Katanya, pandemik COVID-19 masih belum berakhir dan tindakan berjaga-jaga
masih diperlukan.

Di Kedah, Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin ibni Almarhum Sultan Badlishah dan Sultanah Kedah, Sultanah Maliha Tengku Ariff berkenan berangkat menunaikan solat sunat Aidilfitri di Masjid Zahir, Alor Setar.

Berangkat sama; Raja Muda Kedah, Tengku Sarafuddin Badlishah ibni Sultan Sallehuddin dan Raja Puan Muda Kedah, Che Puan Zaheeda Mohammad Ariff.

Khutbah Aidilfitri disampaikan oleh Imam Besar Masjid Zahir, Datuk Syeikh Roslan Abdul Halim.

Selesai solat, baginda dan Kerabat Diraja berkenan beramah mesra bersama jemaah yang hadir sebelum berangkat pulang.

Di Labuan pula, lebih 3,000 umat Islam menunaikan solat sunat Aidilfitri di Masjid Jamek An-Nur.

Solat dipimpin Imam Masjid Jamek An-Nur, Mohd Shukri Yacob, yang turut menyampaikan khutbah aidilfitri bertajuk “Raikan Aidilfitri, Raih Redha Ilahi”.

Dalam khutbah itu beliau mengingatkan bahawa Aidilfitri merupakan hadiah istimewa setelah sebulan menjalani tarbiah Ramadan.

"Mulakan langkah baharu untuk menjalani kehidupan yang mengikut aturan syariat demi meraih rahmat dan keredhaan Allah.

"Seterusnya, eratkan silaturahim sesama ahli keluarga dengan saling berhubung dan bermaafan, mengukuhkan persaudaraan sesama insan dan hulurkan bantuan kepada mereka yang memerlukan," kata beliau.

Di Pahang, Pemangku Raja Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, berkenan menunaikan solat sunat Aidilfitri bersama jemaah di Masjid Sultan Haji Ahmad Shah, Temerloh.

Keberangkatan baginda diiringi Tengku Arif Bendahara Tengku Muhammad Iskandar Ri'ayatuddin Shah.

Hampir 2,000 penduduk Temerloh hadir menyempurnakan ibadah berkenaan.

Selesai menunaikan solat, baginda yang mengenakan busana baju Melayu berwarna hijau muda berkenan menyantuni golongan kanak-kanak sebelum berangkat pulang.

Media Baharu