fb fb fb fb fb

PM puji sikap rakyat patuh SOP amal kawalan kendiri

(Suasana Solat Sunat Hari Raya Pertama di Masjid Putra Heights 1443H/2022M/FOTO Masjid Putra Heights)

KUALA LUMPUR, 2 Mei - Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri memuji sikap orang ramai yang terus mengamalkan pencegahan kendiri bagi mengekang penularan wabak COVID-19.

Walaupun kelonggaran untuk tidak memakai pelitup muka di luar kawasan tertutup tidak lagi diwajibkan, namun masih ramai yang mengambil langkah berjaga-jaga sempena Sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri.

Ismail Sabri berkata kawalan kendiri tetap perlu dilakukan dalam suasana penuh kemeriahan dan kegembiraan umat Islam menyambut Hari Raya Aidilfitri bagi memastikan kesihatan diri sendiri serta masyarakat sekeliling sentiasa dalam keadaan baik.

“Di dalam bangunan masih lagi memakai pelitup muka, diwajibkan, tetapi di luar bangunan di kawasan terbuka seperti ini (masjid) tidak lagi memakai pelitup muka,” katanya.

“Tetapi saya lihat sewaktu saya datang tadi, ramai yang berjalan kaki ke masjid ini, masih lagi memakai pelitup muka. Bermakna rakyat masih lagi berhati-hati. Menjaga dan mengawal kendiri untuk kesihatan diri, anak dan keluarga masing-masing.

“Jadi alhamdulillah. Kita walaupun diberi kebebasan, tidak terlalu terbuka, bebas dan masih lagi berhati-hati, alhamdulillah,” katanya ketika ditemui sebelum pulang dari Masjid Wilayah Persekutuan di sini selepas menunaikan solat sunat Aidilfitri.

Pada 27 April, Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin mengumumkan beberapa kelonggaran langkah kawalan dan pencegahan COVID-19 berkuat kuasa 1 Mei.

Antaranya pemakaian pelitup muka di luar bangunan akan menjadi pilihan bukan lagi satu kewajipan selain tidak wajib mengimbas aplikasi MySejahtera untuk memasuki premis.

Kelonggaran langkah kawalan dan pencegahan COVID-19 di negara ini adalah selaras dengan Fasa Peralihan Ke Endemik.

Media Baharu