fb fb fb fb fb

Sambutan Hari Malaysia padat dengan pengisian budaya dan sejarah

Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi, Datuk Seri Mohamad Fauzi Md Isa - Foto RTM

KUALA LUMPUR, 10 September - Penganjuran sambutan Hari Malaysia di Pulau Pinang pada tahun ini adalah signifikan dalam memperingati sejarah penting pembentukan negara.

Acara wajib menjadi tumpuan adalah sesi menandatangani Buku Istiadat Malaysia, selain pameran galeri foto tentang perjalanan pembentukan Malaysia.

Menurut Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi, Datuk Seri Mohamad Fauzi Md Isa, pelbagai maklumat boleh digarap menerusi pameran tersebut yang memaparkan faktor-faktor menarik sebagai ilmu agar masyarakat lebih mudah faham dan mendalami sejarah negara.

"Setiap tahun kita mengharapkan rakyat untuk datang memeriahkan sambutan jika berpeluang dan berada berhampiran dengan kawasan penganjuran," katanya.

Malah, sambutan yang akan diadakan di Butterworth itu padat dengan pengisian yang menampilkan keunikan budaya masyarakat berbilang kaum.

"Turut disajikan persembahan khas menggabungkan muzik, tarian dan seni tradisi dari Semenanjung, Sabah dan Sarawak. Pulau Pinang pula menonjolkan identiti negeri melalui persembahan boria, opera Cina dan tarian India," jelasnya

Beliau ditemui RTM selepas bersiaran secara langsung pada rancangan bual bicara Selamat Pagi Malaysia di Angkasapuri Kota Media.

Sambutan Hari Malaysia 2025 akan diadakan di Pusat Konvensyen PICCA @ Butterworth Arena, Pulau Pinang pada 16 September ini dengan pengisian acara dibahagikan kepada lima segmen utama.##

SYUHADA BINTI CHEK HASHIM