KUALA LUMPUR, 10 September - Sebanyak 13,484 Program Jualan Agro MADANI telah dilaksanakan di seluruh negara sejak April 2023 sehingga Ogos 2025, dengan menawarkan barangan asas terpilih antara 10 hingga 30 peratus lebih murah daripada harga pasaran setempat.
Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Sri Arthur Joseph Kurup berkata, inisiatif itu dilaksanakan melalui Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) dan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), dengan memberi tumpuan kepada kawasan perumahan berpenduduk padat, Projek Perumahan Rakyat (PPR), kompleks kerajaan serta premis peruncitan agensi.
"Melalui pelaksanaan program ini, harga barangan asas terpilih dapat ditawarkan antara 10 hingga 30 peratus lebih rendah daripada harga pasaran setempat dalam usaha membantu mengurangkan kos sara hidup rakyat. Sekali gus memberikan penjembatan terus kepada pengguna,” katanya selepas menjawab pertanyaan Senator Roderick Wong Siew Lead di Dewan Negara.
Tambah beliau, Sarawak telah melaksanakan 1,530 program sehingga Julai 2025 dengan mencatatkan 640,495 pengunjung, penyertaan 21,058 usahawan dan nilai jualan keseluruhan RM23.53 juta. Program itu juga memberi manfaat kepada 2.67 juta isi rumah di seluruh Sarawak dengan penjimatan harga barangan bernilai RM5.85 juta.
Menurut Datuk Arthur, berdasarkan kajian keberkesanan, kementeriannya telah merangka lima strategi utama bagi memastikan program ini terus memberi manfaat iaitu pemantapan sistem, latihan dan kompetensi, penyelarasan lokasi, hebahan digital serta Jualan Agro MADANI.