fb fb fb fb fb

Kejayaan AmBank cermin daya saing anak watan - PM

FOTO FACEBOOK Anwar Ibrahim

KUALA LUMPUR, 10 September- Kejayaan AmBank yang bertahan selama 50 tahun mencerminkan ketabahan serta daya saing anak watan dalam membangunkan negara, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata, pencapaian itu menggambarkan keupayaan institusi tempatan menghadapi cabaran serta bergerak seiring dengan dasar pembangunan negara.

Beliau turut mengenang hubungan rapat dengan pengasas AmBank, Tan Sri Azman Hashim, yang disifatkan sebagai tokoh penting dalam perkembangan bank tersebut serta sahabat yang banyak memberi sokongan ketika melalui detik sukar.

"Saya menghimbau persahabatan erat saya bersama pengasas bank gergasi tersebut yakni Tan Sri Azman Hashim yang telah memungkinkan AmBank bergerak serta berkembang seiring dengan dasar dan kemajuan negara, selain dukungan beliau secara peribadi kepada saya dan keluarga, terutamanya saat menempuh detik-detik sukar dan gelisah suatu ketika dahulu," katanya menerusi Facebook beliau hari ini.

Dalam hantaran sama, Perdana Menteri turut menegaskan, Malaysia sebagai sebuah negara kecil tetapi berdaya saing perlu terus bijak menghadapi perubahan dan mengekalkan kepentingan nasional sebagai panduan utama.

Menurutnya, kepemimpinan Malaysia dalam ASEAN tahun hadapan akan menjadi ujian besar kepada seni diplomasi negara, terutama dengan kehadiran pemimpin utama dunia termasuk Presiden Amerika, Syarikat Donald Trump dan Perdana Menteri China, Li Qiang serta kemungkinan kehadiran Presiden Persekutuan Rusia, Vladimir Putin, ke Kuala Lumpur dalam kerangka ASEAN.

Kunjungan tersebut, jelasnya, merupakan bukti keyakinan masyarakat antarabangsa terhadap kestabilan Malaysia serta keteguhan rakyatnya.

SITI AISHAH BINTI MD ISA