KUALA LUMPUR, 10 September- Kerajaan memastikan setiap projek pembangunan bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) bersifat 'people centric' (mengutamakan rakyat) dengan memberi tumpuan kepada keperluan sebenar masyarakat serta meningkatkan kesejahteraan hidup rakyat.
Timbalan Menteri Ekonomi, Datuk Hanifah Hajar Taib berkata, garis panduan telah disediakan supaya projek pembangunan benar-benar menepati keperluan rakyat dan keadaan setempat.
"Antara kriteria yang perlu dipatuhi oleh kementerian dan jabatan dalam mengemukakan cadangan projek adalah selaras dengan rancangan fizikal negara, perancangan struktur negeri dan rancangan tempatan, serta penjajaran dengan 17 Matlamat Pembangunan Mampan," katanya ketika menjawab pertanyaan lisan Senator Datuk Bobbey Suan di Dewan Negara hari ini.
Beliau menjelaskan, cadangan projek juga perlu mengambil kira input kerajaan negeri melalui Jawatankuasa Perancang Negeri, Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) serta Majlis Tindakan Pembangunan Negeri sebelum dikemukakan kepada Kementerian Ekonomi.
Tambahnya, kelulusan projek pembangunan Persekutuan akan diberi keutamaan mengikut senarai di bawah Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan, manakala projek di bawah senarai negeri kekal menjadi tanggungjawab kerajaan negeri.