IPOH, 10 September - Kerajaan Negeri Perak menerusi Jabatan Kehakiman Syariah Perak, sentiasa berusaha menambahbaik perkhidmatan perundangan syariah agar lebih cekap dan pantas dengan menjadikan mahkamah syariah lebih mesra rakyat.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, ke arah itu, setiap bangunan mahkamah syariah di negeri itu direka bentuk dengan teliti, termasuk menempatkan kedua-dua bidang kuasa Mahkamah Rendah Syariah dan Mahkamah Tinggi Syariah di bawah satu bumbung.
"Inisiatif kerajaan negeri untuk memperkasakan peranan Mahkamah Syariah tidaklah terhenti setakat menyediakan kemudahan semata-mata. Ia sentiasa ditambah baik.
"Keadaan premis mahkamah khususnya melibatkan bangunan lama, kemudahan serta peralatan usang sentiasa diganti supaya lebih praktikal dan sesuai dengan perkembangan teknologi terkini," katanya.
Tambah Datuk Seri Saarani, pendekatan berkenaan dapat mengoptimumkan penggunaan sumber dan meningkatkan kecekapan pentadbiran kehakiman syariah, selain menyediakan kemudahan lengkap antaranya pejabat pendaftaran dan dewan bicara untuk ketiga-tiga mahkamah.
Sementara itu, beliau turut memaklumkan, peratusan bagi baki kes berkaitan perceraian juga sentiasa terkawal apabila pada tahun 2023, hanya 0.2 peratus sahaja kes-kes berkaitan yang tidak selesai dan dipantau Petunjuk Prestasi Utama (KPI) penyelesaian dengan jumlah 23 kes daripada keseluruhan 12,501 kes dalam prosiding.
Manakala, pada 2024 jumlah baki kes berkaitan perceraian yang dipantau penyelesaiannya menurun kepada hanya 0.01 peratus dengan jumlah hanya 10 kes daripada keseluruhan 13,373 kes dalam prosiding.
"Bagi tahun 2025 sebanyak 36 kes telah disenaraikan dalam KPI pemantauan penyelesaian kes berkaitan perceraian dan hingga Jun 2025, 50 peratus daripada jumlah itu telah diselesaikan dengan baki 18 kes," katanya pada sesi soal jawab di Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak di Bangunan Perak Darul Ridzuan, di sini hari ini.