KUALA LUMPUR, 10 September - Kesejahteraan warga Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bukan sahaja bergantung kepada persiapan pertahanan negara, malah turut melibatkan aspek perlindungan sosial yang menyeluruh.
Pensyarah Kanan Ekonomi Pertahanan Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), Dr Nur Surayya Mohd Saudi berkata, aspek kesihatan, perumahan dan pembangunan kerjaya selepas bersara wajar diberi perhatian serius oleh kerajaan.
“Bila kita bercakap tentang perlindungan sosial, ada tiga asas yang kritikal. Pertama kesihatan, kedua perumahan dan infrastruktur keluarga, dan ketiga pembangunan bakat selepas bersara. Tiga perkara ini perlu disokong secara menyeluruh oleh kerajaan,” katanya ketika ditemui selepas menjadi tetamu program Selamat Pagi Malaysia di Angkasapuri Kota Media.
Jelasnya, skim bantuan perumahan mampu meringankan beban warga ATM yang sering berpindah kerana tuntutan tugas, selain memastikan penempatan keluarga berhampiran kemudahan pendidikan, kesihatan dan rekreasi.
Beliau menambah, pembangunan bakat serta latihan keusahawanan penting bagi menyediakan anggota ATM peluang kerjaya kedua selepas bersara.
Kerajaan memperuntukkan RM10 juta bagi melaksanakan projek pertanian moden di 90 kem tentera seluruh negara.
Inisiatif itu bukan sahaja menjana pendapatan tambahan kepada warga ATM dan veteran, malah mewujudkan rasa dihargai kerana mereka turut menyumbang kepada ekonomi negara.
“Bila warga ATM terlibat secara langsung dalam projek ini, daripada pengeluaran hingga pemasaran, mereka bukan sahaja mendapat pendapatan tambahan tetapi juga keyakinan bahawa selepas bersara, mereka masih ada tempat dalam komuniti dan ekonomi negara,” jelasnya.
Bercakap mengenai amalan luar negara, beliau merujuk Amerika Syarikat yang memberi penekanan besar terhadap aspek kesihatan, pendidikan dan kebajikan keluarga anggota tentera. Di negara itu, industri pelancongan veteran turut diurus sepenuhnya oleh bekas anggota tentera bersama keluarga mereka.
Dengan dasar yang komprehensif dan sokongan berterusan, warga ATM diyakini bukan sahaja berperanan sebagai benteng pertahanan, tetapi juga penyumbang aktif kepada pembangunan ekonomi dan sosial negara.