KUALA LUMPUR, 10 September - Majlis Amanah Rakyat (MARA) memberi tumpuan terhadap usaha mengatasi cabaran pendidikan termasuk kebajikan pelajar, peningkatan kualiti pengajaran dan infrastruktur, pembaharuan kurikulum serta memperkukuh kompetensi tenaga pengajar.
Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Rubiah Wang menegaskan antara cabaran utama ialah kos sara hidup yang menjejaskan tumpuan pelajar B40.
Justeru, MARA memperkenalkan program bantuan pendidikan BUDI melibatkan Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) dan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dengan kerjasama agensi seperti Permodalan Nasional Berhad (PNB) dan Yayasan Telekom Malaysia.
“Ekosistem pendidikan MARA bukan sahaja berteraskan kecemerlangan akademik tetapi juga menitikberatkan pembangunan pelajar yang berintegriti dan berdaya kepimpinan. Melalui program pembangunan sahsiah bertunjangkan RISE iaitu agama, inovasi, kemahiran dan keusahawanan, objektif membangunkan modal insan holistik dapat dicapai,” katanya.
Katanya bagi menjawab pertanyaan Senator Nik Mohamad Abduh Nik Abduk Aziz di Dewan Negara di sini.
Tambahnya, MARA turut memperkukuh kurikulum melalui kerjasama dengan pakar industri selain memperkenalkan program 'teaching factory' serta pembelajaran digital dan fleksibel.
Selain itu, 22 tenaga pengajar TVET MARA dihantar mengikuti latihan peningkatan kemahiran ('upskilling') dalam bidang pembuatan pintar, internet kebendaan (IoT) dan kenderaan elektrik di Xinjiang serta Hebei, China.
MARA katanya, komited melahirkan pelajar yang relevan dengan keperluan industri, dibuktikan apabila 31 MRSM mencapai Gred Purata bawah 2.0 dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2024, berbanding hanya sembilan MRSM pada 2023.