Sambutan Hari Malaysia 2025 di Pulau Pinang meriah seawal pagi

BUTTERWORTH, 16 September- Orang ramai mula memeriahkan sambutan Hari Malaysia 2025 di Pulau Pinang seawal pukul 9.00 pagi tadi meskipun acara kemuncaknya hanya bermula pada 8.30 malam nanti.

Seorang pengunjung, Mohd Kamil Mohd Redzuan meluahkan keterujaannya tentang program dan pameran yang disediakan dalam sambutan berkenaan.

“Pameran sangat menarik, dengan pelbagai maklumat mengenai pembentukan Hari Malaysia. Terdapat juga pertandingan mewarna yang melibatkan ibu bapa dan anak-anak, memang pengalaman yang sangat baik,” katanya.

R. Surenthiran, pengunjung lain, menyatakan kegembiraannya menyaksikan sambutan bersejarah itu secara langsung.

“Seronok, ramai orang. Ini kali pertama saya datang dan melihat suasana sebegini. Saya akan kekal di sini sehingga malam untuk menunggu majlis selesai,” katanya.

Alisha Humairaa Mohammad Nadzri pula menekankan nilai pendidikan budaya yang diperoleh pengunjung muda.

“Kali pertama saya hadir, sebelum ini sambutan jauh (luar Pulau Pinang). Jadi seronoklah, kali ini nampak meriah. Budak-budak yang datang pun dapat belajar tentang pelbagai perkara seperti kuih tradisional dan budaya tempatan

Pelbagai aktiviti menarik diadakan termasuk reruai interaktif Radio Televisyen Malaysia (RTM) seperti set cuba bakat DJ dan RTM Klik, Kempen Internet Selamat oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), serta reruai Perbadanan Perpustakaan Awam Pulau Pinang.

Sambutan tahun ini menampilkan lima segmen utama yang menonjolkan identiti serta warisan budaya Melayu, Cina, India, dan Bumiputera Sabah dan Sarawak.

Pulau Pinang dipilih sebagai tuan rumah selaras keputusan Jemaah Menteri pada 24 Jun 2020 yang menetapkan sambutan Hari Malaysia diadakan secara bergilir di seluruh negeri.

Acara turut akan menyaksikan majlis menandatangani Buku Khas Sambutan Hari Malaysia 2025 oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas mewakili Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg serta Timbalan Ketua Menteri Sabah Datuk Shahelmey Yahya mewakili Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor.

Sambutan turut diserikan dengan kehadiran Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang Tun Ramli Ngah Talib dan Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow selaku tuan rumah bersama barisan jemaah menteri.