fb fb fb fb fb

Sambutan Hari Kebangsaan kembali meriah

KUALA LUMPUR, 31 Ogos- Sambutan Hari Kebangsaan 2022 kembali meriah dengan kehadiran lebih 50,000 Keluarga Malaysia membanjiri Dataran Merdeka setelah 2 tahun ditangguh berikutan pandemik COVID-19.

Sambutan tahun ini menyaksikan pelibatan lebih 20,000 peserta persembahan dan perarakan, 76 haiwan dalam perkhidmatan, 369 aset darat dan 68 aset udara daripada pelbagai agensi.

Acara bermula dengan ketibaan pembesar negara, sebelum keberangkatan tiba Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah dengan menaiki kereta kuda diraja sekitar pukul 8 pagi.

(Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja
Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan menaiki
Kereta Penarik Diraja  sempena Sambutan Hari Kebangsaan 2022 di Dataran Merdeka)

Ia disusuli lintasan hormat lima helikopter yang membawa Jalur Gemilang serta tembakan 14 das meriam melambangkan 14 negeri dalam Malaysia oleh 41 Bateri Istiadat Rejimen Artileri Diraja, diketuai Leftenan Kolonel Mohamad Asri Che Wil.

Lagu Negaraku kemudian berkumandang serentak dengan acara menaikkan Jalur Gemilang, diikuti lagu tema Keluarga Malaysia Teguh Bersama yang didendangkan bersama oleh
barisan artis tanah air dan semua yang hadir.

Ini adalah julung kali nyanyian lagu Negaraku disampaikan oleh 12 artis tempatan semasa upacara menaikkan jalur gemilang diiringi 65 pemuzik Orkestra RTM pimpinan Pengarah Muzik, Datuk Mokhzani Ismail.

Kemeriahan sambutan kali ini menunjukkan semangat perpaduan Keluarga Malaysia dan keterujaan dalam meraikan Hari Kebangsaan 2022.

(Pertunjukan udara bersempena sambutan Hari Kebangsaan ke-65)

Media Baharu