fb fb fb fb fb

Sambutan Aidilfitri: rendang maman juadah pilihan masyarakat Gemencheh

TAMPIN, 2 Mei- Sambutan Aidilfitri Di Negeri Sembilan seolah-olah tidak lengkap tanpa juadah tradisi, rendang maman .

Bagi masyarakat di Gemencheh, Tampin, hidangan istimewa itu menjadi suatu kewajipan untuk dihidangkan pada hari raya dan dimakan bersama lemang, ketupat ataupun nasi.

Menurut Pengusaha Rendang Maman Warisan Gedok, Fahim Mahmud, pihaknya memerlukan lebih enam tan maman bagi memenuhi permintaan pelanggan sempena Aidilfitri tahun ini.

Tersenarai antara 50 makanan terlazat di dunia oleh badan antarabangsa, rendang maman katanya mempunyai khasiat tersendiri.

"Di antara khasiat rendang maman ni ia mencegah penyakit buasir dan juga darah tinggi kerana sayur maman ni sebenarnya pahit sangat pahit tapi bila masak kita kenakan ramuan-ramuan yang tertentu kena asam dia, garam dia, santan cukup dia akan hilang kepahitan dia akan jadi satu makanan yang lazat," katanya.


(Pengusaha Rendang Maman Warisan Gedok, Fahim Mahmud mengutip maman sebelum dimasak menjadi rendang)

Sementara itu, tukang masak, Norizah Mansor berkongsi resipi istimewa menghasilkan rendang maman yang sedap dengan menyeimbangkan rasa pahit dan masam menggunakan asam gelugur serta dimasak dalam tempoh lama.

Kebiasaannya,rendang maman dimasak dengan campuran ayam kampung, daging lembu, daging rusa dan ikan bilis.

"Mungkin sebab dia lemak santan tu kan dengan cili api, kemudian dimasak sampai kering, itu yang terasa dia punya sedap tu. Lepas itu bila dia kering dia berminyak," kata Norizah.


(Norizah Mansor)

Rendang maman yang dimasak dengan cara tradisi orang lama menjadi kunci utama mendapatkan rendang maman yang sedap.

Ia dimasak di dalam kawah dan menggunakan kayu api bagi membangkitkan aroma keaslian rendang maman yang menjadi hidangan Hari Raya.

Ia bukan sahaja terkenal dalam kalangan masyarakat Melayu, malah turut popular dalam kalangan masyarakat Cina dan India.

Media Baharu