GUA MUSANG, 2 Mei- Lebih 3,000 jemaah memanfaatkan kelonggaran prosedur operasi standard (SOP) COVID-19 dengan menunaikan solat sunat Hari Raya Aidilfitri pertama di Masjid Razaleigh di Gua Musang, Kelantan hari ini.
Selepas dua tahun beraya dalam pandemik Covid-19, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Galas, Mohd. Syahbuddin Hashim melahirkan rasa gembira dengan kehadiran jemaah yang memenuhi masjid.
(Kehadiran jemaah di Masjid Razaleigh, Gua Musang hari ini bagi menunaikan solat hari raya Aidilfitri)
Menurut Mohd. Syahbuddin, Masjid Razaleigh menjadi tumpuan bukan sahaja rakyat tempatan tetapi perantau yang pulang berhari raya untuk bersolat di masjid model Masjidil Haram, Mekah.
"Alhamdulillah bersyukur kepada Allah pada hari ini nampaknya ramai ke Masjid Razaleigh, masjid yang menyerupai Masjidil Haram untuk, menunaikan solat hari raya aidilfitri yang pertama sejak pembukaannya dan sambutannya amat baik oleh jemaah yang hadir memenuhi masjid awal pagi.
Terima kasih kepada Tengku Razaleigh yang menginspirasikan pembinaan bukan sahaja tarikan kepada warga tempatan tetapi viral kepada warga Kelantan dan perantau yang masuk ke sini," kata Syahbuddin kepada pemberita RTM.
(Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Galas, Mohd. Syahbuddin Hashim ditemu bual media di masjid berkenaan)
Sementara itu, orang ramai teruja apabila dapat bersolat hari raya di masjid Razaleigh.
Bagi jemaah, Mohd Suariman Mohd Zain dan Syahida Fauzi menzahirkan rasa syukur dapat menunaikan ibadah tersebut dengan pelonggaran SOP terkini.
"Bersyukur ke hadrat ilahi dapat kita meraikan hari raya Aidilfitri hari ini. PKP pun dah habis, lepas itu dapat solat di Masjid Razaleigh ini, rasa gembira lah, Masjid pun cantik ada ala-ala Masjidil Haram kan. Boleh ambil gambar untuk kenang-kenangan," kata Suariman kepada RTM.
"Syukur alhamdulillah walaupun tak berpeluang ke Masjidil Haram tapi bila ada masjid macam ini kan, kami di tanah air rasa bersyukur sangat. Dapat singgah solat raya kat sini dan sangat berbangga sebagai rakyat Kelantan bila wujudnya replika seperti ini," kata Syahida Fauzi kepada RTM.
Setelah tertangguh hampir dua tahun, Masjid Razaleigh yang mirip Masjidil Haram, Mekah dibuka secara rasmi pada 1 April lalu.
Pembukaan masjid bernilai RM34 juta itu sebelum ini terpaksa ditangguh berikutan penularan COVID-19 yang masih belum reda sepenuhnya.