KUALA LUMPUR, 28 Oktober - Mahkamah Tinggi menolak saman pemula yang dikemukakan penyandang kerusi Parlimen Klang, Charles Santiago berhubung pembubaran Parlimen ke-14 yang didakwa menyalahi Perkara 40(1) dan (1A) Perlembagaan Persekutuan kerana tidak dibuat berdasarkan nasihat Jemaah Menteri.
Hakim, Datuk Ahmad Kamal Md Shahid berkata Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob tidak perlu berunding dengan anggota kabinetnya untuk meminta Yang di-Pertuan Agong membubarkan Parlimen kerana ia merupakan hak mutlak beliau sebagai Perdana Menteri.
"Memandangkan pembubaran Parlimen dibuat mengikut Perkara 42 (b) Perlembagaan Persekutuan, tiada lagi keperluan bagi mendapatkan nasihat Kabinet di bawah Perkara 40 (1) dan Perkara 40 (1A) Perlembagaan Persekutuan.
"Yang di-Pertuan Agong telah bertindak mengikut budi bicara baginda sendiri bagi membubarkan Parlimen atas permintaan Perdana Menteri mengikut perlembagaan," katanya.
Datuk Ahmad Kamal berkata demikian ketika membenarkan permohonan Datuk Seri Ismail Sabri, kerajaan dan SPR untuk membatalkan saman penyandang kerusi Parlimen Klang itu yang difailkan pada 11 Oktober lepas.
Tambah Ahmad Kamal, Seri Paduka Baginda tidak terikat dengan nasihat Perdana Menteri atau Kabinet dalam melaksanakan tugas Baginda.