KLANG, 28 Oktober - Kerajaan negeri Selangor yakin mampu mencatatkan kutipan hasil sehingga RM2.2 bilion menjelang akhir tahun ini dengan jangkaan peningkatan jumlah pembayaran pada saat akhir dalam tempoh dua bulan terakhir tahun ini.
Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari berkata sehingga semalam, kutipan hasil kerajaan negeri telah mencatatkan sebanyak RM2.17 bilion, mengatasi sasaran yang ditetapkan pada tahun ini iaitu sebanyak RM2.05 bilion.
"Pada 2020 dan 2021, semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan, Selangor tetap mencatatkan lebihan hasil daripada jumlah ditetapkan. Begitu juga pada tahun ini apabila angka dicatatkan lebih tinggi.
"Kerajaan negeri menyasarkan kutipan hasil negeri sebanyak RM2.05 bilion tetapi dengan berbaki dua bulan lagi, sewajarnya jumlah itu akan meningkat susulan pembayaran pada saat akhir," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Perluasan Sistem Smartbox Selangor ke Pejabat Daerah dan Tanah Selangor di sini.
(Amirudin ketika dalam
Majlis Perluasan Sistem Smartbox Selangor ke Pejabat Daerah dan Tanah Selangor)
Mengenai Smartbox Selangor, Amirudin berkata sistem itu akan mempercepatkan dan memudahkan proses pembayaran urusan tadbir tanah serta pungutan dokumen di negeri ini.
"Apabila diisytiharkan PKP, semua operasi terhenti termasuk urusan kaunter pejabat tanah tetapi kita tidak menunggu lama dan dalam tempoh tiga hingga empat bulan, kita memperkenalkan Smartbox dan mencatatkan lebih 12,000 transaksi,” katanya.
Beliau berkata sistem itu dibangunkan oleh Pejabat Tanah dan Galian Selangor (PTGS) dan akan mula digunakan di sembilan daerah di negeri ini bermula 1 November ini. - BERNAMA