KEDAH, 28 Oktober- Jabatan Kebajikan Masyarakat JKM Kedah telah mengarahkan setiap pejabat kebajikan daerah mendapatkan bekalan dari Depoh Simpanan Barangan Banjir di Bedong bagi memastikan keperluan tersebut dapat disalurkan kepada penduduk yang terjejas banjir yang ditempatkan di Pusat Permindahan Sementara Banjir PPS.
Ia memandangkan peralihan Monsun Timur Laut yang berlaku telah menyebabkan beberapa daerah di negeri itu dinaiki air dan memaksa penduduk dipindahkan di PPS.
(Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Pembasmian Kemiskinan dan Kebajikan Kedah, Datuk Halimaton Saadiah Saad)
Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Pembasmian Kemiskinan dan Kebajikan Kedah, Datuk Halimaton Saadiah Saad berkata petugas-petugas JKM juga telah mengadakan simulasi banjir sebagai persiapan terakhir sekiranya penduduk ditimpa bencana.
Selain itu, pelbagai agensi kerajaan dan pihak NGO akan berkerjasama dengan memainkan peranan sebagai sokongan terhadap bantuan dan keperluan penduduk yang terjejas.
"Ada daerah-daerah yang telah melakukan simulasi banjir dan alhamdullilah dikubang pasu ini ianya telah berlangsung dan sekurang-kurangnya simulasi diadakan ia menandakan persiapan yang mana perlu bekerja yang mana perlu turun ke padang dan alhamdullilah agensi-agensi terlibat memainkan peranan penting setakat ini semua bekerjasama dalam membantu mangsa-mangsa banjir," katanya kepada RTM selepas meninjau penduduk yang terjejas banjir di PPS SK Binjai di Jitra.
Pihaknya juga telah melantik kontraktor dari JKM bagi membekalkan bekalan makanan dan minuman sepanjang penduduk yang terjejas banjir ditempatkan di PPS.